Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan satu debat bertajuk Who Is The Real Terrorist diadakan di antara Dr Zakir Naik dan Dr P. Ramasamy.
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, tampil sekali lagi bagi memperjelaskan mengenai kekeliruan masyarakat dalam memahami pemberian wang zakat kepada golongan bukan Islam seperti diputuskan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis sejak 2017.

Dalam satu entri di Facebook, Dr Mohd Asri berkata, fatwa yang dikeluarkan sebelum ini mengenai pemberian zakat itu diputuskan selepas mengambil kira pendapat dalam kalangan ahli fekah dan bukan fatwa rekaan baharu.

“Kitab fekah sejak dahulu sudah menyebut perkara ini dan paling mudah di zaman ini boleh dibaca adalah kitab Fiqh al-Zakah karangan Dr Yusof al-Qaradawi.

“Beliau antara yang menyokong pendapat (pemberian wang zakat kepada orang bukan Islam).

“Penentuan kadar zakat dan siapa yang berhak menerimanya ditentukan oleh ulil amri atau pemerintah yang mengurus zakat, bukan ditentukan pihak bukan Islam.

“Pastinya ulil amri itu bijak dalam urus tadbir pembahagian, maka tidak perlu ada kerisauan dalam hal ini,” katanya.

Minggu lalu, Dr Mohd Asri berkata, Perlis meluluskan fatwa membolehkan wang zakat diberi kepada bukan Muslim di bawah asnaf ‘muallafah qulubuhum’ iaitu golongan yang ingin diharmonikan sikap dan persepsi mereka terhadap Islam.

Beliau turut memperjelaskan bahawa golongan bukan Muslim layak menerima bantuan berkenaan atas syarat yang ditentukan oleh Ulil Amri atau pemerintah.

Dalam pada itu, beliau berkata, langkah pemberian zakat kepada masyarakat bukan Islam adalah bertujuan melembutkan jiwa orang bukan Islam kepada ajaran Islam yang baik dan harmoni, selain sebagai agenda dakwah.

“Ini dakwah yang berkesan dan zakat itu bukan sahaja dalam bentuk wang, malah boleh juga berbentuk makanan, bantuan ubatan dan seumpamanya.

“Contohnya, apabila pihak pengurusan zakat membantu mangsa banjir atau kebakaran, mungkin dalam kalangan mereka ada orang bukan Islam.

“Tidak wajar jika mangsa beragama Islam menerima makanan atau bantuan manakala mangsa bukan Islam tidak diberi bantuan sama.

“Ia memberi persepsi buruk terhadap Islam dan tidak mencerminkan sifat Islam yang merahmati semua pihak,” katanya lagi.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof pula berkata, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) enggan campur tangan dengan tindakan Majlis Fatwa Perlis mengeluarkan fatwa membenarkan wang zakat diagihkan kepada golongan bukan Islam menerusi asnaf muallafah qulubuhum.

Mujahid berkata, mengumumkan keputusan itu selepas mendapat pandangan ahli Majlis Fatwa lain atas sebab tertentu.

“Itu adalah urusan pentadbiran agama Islam negeri, kami tidak boleh kata tidak boleh kerana setiap negeri mempunyai Majlis Fatwa tersendiri manakala bab zakat pastinya sudah dirujuk kepada Majlis Fatwa,” jawab Mujahid. -MalaysiaGazette

Perlis putus fatwa wang zakat juga boleh diberi kepada bukan Muslim