Saksi iaitu Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hadir bagi perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 25 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Saksi kesembilan perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi mendedahkan walaupun tidak ada tekanan untuk mempercepatkan pinjaman sebanyak AS$500 juta (RM2.06 bilion) kepada PetroSaudi International Ltd (PSI) namun transaksi itu telah dilakukan secara ‘pantas’.

Ini adalah kerana ahli perniagaan yang kini dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low telah memberikan nasihat kepada Shahrol yang merupakan Ketua Eksekutif 1MDB ketika itu supaya mempercepatkan pemindahan wang itu.

Dalam pada itu, peguambela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah juga memberi andaian walaupun tidak ada tekanan untuk saksi melakukan transaksi tersebut dengan cepat kerana 1MDB telah diberikan masa sehingga tempoh sembilan bulan untuk berfikir adakah pinjaman wang sebanyak itu perlu diberikan kepada PSI.

Tetapi Shahrol tidak bersetuju dengan andaian Muhammad Shafee itu.

1MDB telah meminjam AS$500 daripada AmBank pada September 2010 sebagai sebahagian daripada transaksi melibatkan usaha sama 1MDB-Petrosaudi pada masa itu.

Shahrol juga mendedahkan bagaimana sejurus selepas wang tersebut telah di pindahkan ke PSI Holdings sekitar September 2012 yang sepatutnya diguna pakai sebagai pelaburan untuk syarikat tenaga Perancis dikenali sebagai GDF Suez.

Namun kata Shahrol, seminggu selepas itu, sebahagian daripada wang itu telah dimasukkan ke syarikat Good Star Limited dipercayai milik Jho Low.

Dakwa Shahrol, pengasas serta Ketua Pegawai Eksekutif PSI, Tarek Obaid telah memberi arahan pemindahan 82 juta Swiss Franc (RM340 juta)  daripada akaun syarikat itu kepada akaun peribadinya di JP Morgan.

Tarek kemudian telah mengarahkan pegawai perbankan peribadinya memindahkan wang kepada Good Star Limited melalui akaun di bank RBS Coutts.

PSI Holdings ialah syarikat usaha sama MDB danPetrosaudi Holdings (Cayman) Ltd sebelum 1MDB melupuskan sahamnya bernilai AS$1 bilion.

PSI Holdings pada 14 September 2012 telah menerima AS$500 juta daripada 1MDB sebagai pinjaman untuk dilaburkan dalam syarikat tenaga GDF Suez kini sudah sebagai ENGIE.

Shahrol juga mendakwa dirinya sehingga kini tidak tahu menahu apakah benar wang pinjaman daripada 1MDB itu sebenarnya telah digunakan oleh PSI untuk membeli saham dalam syarikat tenaga seperti yang diperkatakan sebelum ini.

Dakwa Shahrol lagi, sepanjang disoal siasat pihak berkuasa, beliau hanya ditunjukkan perjalanan transaksi wang di peringkat tertinggi iaitu ke dalam akaun syarikat seperti syarikat Good Star Limited milik Jho Low dan beberapa entiti milik Aabar BVI.

Kata Shahrol, beliau tidak pernah nampak apa-apa ‘bukti’ dokumen PSI Holdings menggunakan baki wang itu untuk mendapatkan saham GDF Suez.

Perbicaraan bersambung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah.

Terdahulu sejurus selepas rehat makan tengah hari, Collin ada bertanyakan kepada Muhammad Shafee apakah jangka masa untuk Shahrol memberikan keterangan beliau yang sudah masuk hari ke-20 hari ini.

Bagaimanapun kata Muhammad Shafee, pemeriksaan balas beliau mungkin akan bersambung dengan saksi yang sama sekurang-kurangnya sehingga penghujung minggu depan. –MalaysiaGazette