Kemunculan seorang lelaki berpakaian seragam askar zaman penjajahan bukan sahaja mencetuskan kekecohan di Pulau Pinang baru-baru ini.

PULAU PINANG – Kemunculan seorang lelaki berpakaian seragam askar zaman penjajahan bukan sahaja mencetuskan kekecohan di Pulau Pinang malah mewujudkan perbincangan sama ada dia memakai pakaian Parti Komunis Malaya atau Tentera Jepun semasa zaman pendudukan Jepun.

Gambar lelaki yang memakai penutup mulut dan menolak sebuah basikal lama itu telah tersebar melalui Kelab Melayu Pulau Pinang dan mengundang reaksi ramai yang berpendapat individu itu harus dihalau kerana berpakaian askar komunis.

Difahamkan lelaki itu telah diusir oleh seorang veteran tentera semasa mengenakan pakaian itu di pasar.

Kwong Wah Yit Poh melaporkan, walaupun tindakan menghalau “lelaki komunis” itu mendapat pujian netizen tetapi ada juga yang mempertikaikan bahawa pakaiannya adalah Tentera Jepun.

Pemerhatian Malaysia Gazette mendapati lelaki di Pulau Pinang itu memakai topi dengan bintang lima penjuru berwarna emas yang merupakan lambang Tentera Jepun pada topi mereka semasa Perang Dunia Kedua.

Walaupun askar Parti Komunis Malaya juga mengenakan bintang lima penjuru pada topi, tetapi ia berwarna merah.

Selain itu, warna pakaian seragam askar Parti Komunis Malaya adalah berwarna hijau manakala Tentera Jepun menggunakan beberapa warna termasuk warna kuning tua.

Tidak dilupakan bahawa askar Jepun menunggang basikal ketika menceroboh Tanah Melayu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast