Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas hadir pada sidang media selepas hadir pada Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang dipengerusikan oleh Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 05 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana mengesahkan dirinya sebagai menjadi Perdana Menteri kelapan.

Tambah beliau, perkara itu sememangnya betul kerana Pakatan Harapan (PH) tidak pernah mengemukakan nama pihak lain selain dirinya seperti yang dipersetujui sebelum Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Terima kasih kepada rakyat, kepada PH dan kepada Tun (Mahathir).

“Saya dah jelaskan, saya secara ikhlasnya sebenarnya malas nak jawab (isu ini). Keputusan dibuat sebelum pilihan raya, mandat dalam pilihan raya, setakat ini tidak ada pimpinan PH yang mengusulkan nama lain,” katanya di lobi parlimen hari ini.

Mahathir alam temu bual bersama Sydney Morning Herald di Bangkok pada Isnin lalu sekali lagi menegaskan penggantinya adalah Anwar dan bukan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ujarnya, sungguhpun ada permintaan daripada pihak tertentu yang meminta beliau bertahan sehingga pilihan raya umum akan datang, Mahathir komited untuk berundur sebelum tempoh tersebut.

Mahathir diajukan soalan sama ada beliau pasti akan melepaskan baton kepada Anwar, beliau menjawab;“Ya, saya akan (serah kepada Anwar)”.-MalaysiaGazette