Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Perjanjian perdagangan seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) perlu mengambil kira komitmen kerajaan dalam melaksanakan dasar pembangunan yang inklusif agar manfaat CPTPP yang dijana dapat dinikmati bersama dan selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Dalam hubungan ini, implikasi dan potensi impak CPTPP telah dibincangkan secara mendalam dan keputusan muktamad sama ada untuk meratifikasi CPTPP atau sebaliknya akan ditentukan oleh Jemaah Menteri.

Majlis Tindakan Ekonomi, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi berkata, perkara tersebut dibincangkan dalam Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam.

Mesyuarat EAC tersebut telah membincangkan hasil kajian impak yang dijalankan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) ke atas CPTPP.

Selain itu, seiring dengan usaha kerajaan untuk mewujudkan suasana pasaran domestik yang lebih kompetitif, efisien dan kondusif, EAC turut membincangkan hasil kajian semula pasaran sektor makanan negara di bawah Akta Persaingan 2010.
Menurutnya, kajian ini dijalankan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Hasil pembentangan penemuan kajian ini telah diteliti dan turut membincangkan prospek penstrukturan semula rantaian bekalan makanan menerusi platform ekonomi digital dengan penglibatan aktif sektor swasta bagi menurunkan harga barangan keperluan. – MalaysiaGazette