Reaksi Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal (tengah) sewaktu mendengar ceramah War Truck oleh Exco Pemuda UMNO, Farhan Khairudin (kiri) ketika sesi walkabout bagi membantu calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Pasar Lambak Ladang South Malaya, Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 06 NOVEMBER 2019

PONTIAN – Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Johor, Dr Sahruddin Jamal dikatakan ‘panas telinga’ apabila cuba mengambil mikrofon yang sedang digunakan oleh Pemuda Barisan Nasional (BN) ketika menyampaikan ceramah di sebuah kampung semalam.

Pengerusi BN Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, sikap Sahruddin jelas menunjukkan bahawa beliau tidak faham sekarang ini merupakan tempoh berkempen pada Pilihan Raya  Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Katanya, menteri besar tersebut yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong sanggup turun daripada keretanya hanya semata-mata hendak menunjukkan rasa bengangnya terhadap ucapan Pemuda BN itu.

“Sewaktu Pemuda berucap seorang demi seorang lalu penyokong-penyokong PH. Kalau PH yang biasa-biasa tak apa juga.

“Lalulah Pengarah Pilihan Raya PH Yang Amat Berhormat. Punya tak retinya beliau bahawa kita ini dalam musim pilihan raya nak berkempen kena mohon permit.

“Pemuda bijaksana dah mohon permit, dah ada pun permitnya. Nak berucap di majlis, menteri besar selaku yang amat berhormat, pengarah pilihanraya PH turun dari kereta minta mikrofon tu diserahkan kepada beliau. Punyalah tak reti, punyalah tak tahan telinga dia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai (P165) di Kampung Rimba Terjun, di sini malam tadi.

Hasni berkata, sikap yang ditunjukkan oleh pemimpin PH dan juga penyokong parti itu jelas menunjukkan mereka tidak tahan “diperli” angkara perbuatan mereka sendiri dan wajar dijadikan contoh kepada rakyat.

Malah ujarnya, Pemuda BN hanya menegur sedikit daripada apa yang berlaku tetapi mereka telah menunjukkan sikap yang tidak sepatutnya ada sebagai sebuah parti kerajaan.

“Itu baru Pemuda kata apa lagi nak tipu. Baru cakap sikit tak boleh tahan turun kereta nak ambil mikrofon daripada Pemuda.

“Tapi kesian mereka, Pemuda walaupun mereka bukan wira yang berjawatan, bukan wira yang didendang tetapi mereka tahu tentang tugas dan tangungjawab mereka kepada BN,” ujarnya.

Dalam kejadian semalam, beberapa penyokong PH yang menyertai walkabout bersama Sahruddin di sebuah pasar malam telah memarahi Pemuda BN yang ketika itu sedang menyampaikan ceramah pada kempen PRK Tanjung Piai.

Sahruddin kemudiannya meminta mikrofon yang dipegang oleh penceramah Farhan Khairuddin.

Bagaimanapun, tidak berlaku sebarang insiden yang tidak diingini dan penyokong-penyokong PH kemudianya meninggalkan kawasan berkenaan. – MalaysiaGazette