Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (empat kanan) dan barisan Jemaah Menteri bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Nasional Janji Kerajaan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 07 NOVEMBER 2019

PUTRAJAYA – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah banyak mencapai kejayaan sepanjang mengambil alih pentadbiran dari kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei tahun lalu.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, dalam tempoh kira-kira satu setengah tahun, fungsi kabinet berjalan dengan baik dan lancar serta bekerja mengikut konsesus.

“Berkenaan pencapaian kerajaan PH terutama janji-janji, kita dapati umumnya kita telah mencapai banyak kejayaan terutama dalam pilihan raya lalu, kita dapat mengambil alih kerajaan tanpa masalah.

“Kalau negara lain sudah tentu peralihan ini ada masalah, berlaku demonstrasi tetapi kita tak ada. Kita ambilalih dengan cara yang selamat. Kalau pun ada sedikit tertangguh mengenai pelantikan saya sebagai Perdana Menteri.

“Adalah ketika itu cubaan pihak tertentu kononnya hendak mengadakan kerajaan alternatif,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Nasional Janji Kerajaan di Bangunan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Menurut Mahathir, ketika PRU-14 yang lalu, banyak berlaku penipuan dari parti lawan tetapi suara rakyat tidak boleh disekat sehingga akhirnya PH mencapai kemenangan dengan majoriti besar.

Katanya, beliau juga berpuas hati sejak PH mengambil alih, tidak ada perselisihan faham atau halangan dalam menjalankan tugas-tugas berlaku.

“Ada pertengkaran di luar kabinet tapi dalam kabinet walaupun saya tunggu siapa-siapa nak lawan dengan saya… tak ada siapa berani. Semuanya, akhirnya bersetuju.

“Saya punya peraturan ialah gulung. Selepas mendengar macam-macam pandangan, saya gulung dan biasanya gulungan saya itu diterima dan kita dapat kelulusan pentadbiran,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, dalam pentadbirannya juga banyak kejayaan telah dicapai yang mana mereka yang terlibat dalam kegiatan rasuah telah digantikan dengan pegawai baharu.
Katanya, sudah tentu pegawai baharu itu lebih muda, tetapi mereka dapat mengambilalih dan menjalankan tugas dengan baik.

“Mungkin ada yang kurang faham dengan tugas dan tanggungjawab mereka, tetapi umumnya semua jentera kerajaan berjalan dengan baik.

“Semua kementerian berjalan dengan baik dan kita dapat laksanakan segala projek mengikut perancangan,” katanya.

Mahathir juga berkata, kerajaan PH turut memperkenalkan dasar baharu iaitu Wawasan Kemakmuran Bersama.

“Inipun dirancang, dibahas dan diperkenalkan sebagai dasar rasmi kerajaan dan kita dapati dasar ini disambut baik oleh rakyat.

“Berdasarkan penilaian sendiri mengenai prestasi kerajaan sekarang ini, saya dapati tidak ada siapa yang mempertikaikannya.

“Di luar negara, misalnya, kita diterima baik. Apabila kita mengadakan rundingan, cadangan kita diterima baik oleh kerajaan negara berkenaan,” katanya sambil memberi contoh di Bangkok, Thailand baru-baru ini, suara kerajaan Malaysia didengari.

Ujar beliau, banyak juga cadangan kerajaan Malaysia diterima negara luar dan sekali gus menunjukkan pengiktirafan negara berkenaan terhadap ini negara ini amat baik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast