SHANGHAI – Busana merah keemasan bernilai RMB45 Juta (RM27 juta) menjadi antara tarikan di ruang astaka Malaysia pada pameran Ekspo Import Antarabangsa China 2019 (CIIE) di sini yang berlangsung mulai 5 hingga 10 November.
Busana bertatahkan permata dan berlian berkualiti tinggi dari Afrika itu mengambil masa selama 968 jam untuk disiapkan oleh pereka fesyen Malaysia Datuk Prof Jimmy Choo yang juga Pengarah Kreatif jenama pakaian, The Atelier.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Sharimahton Mat Saleh berkata rekaan gaun dari The Atelier itu diinspirasikan bersempena sambutan ulang tahun ke-45 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.
“Ia bukan sahaja mencerminkan persahabatan antara kedua-dua negara, tetapi juga menggambarkan visi Malaysia-China yang ingin sentiasa bergandingan dalam mengukuhkan hubungan masa depan melalui kerjasama ekonomi yang kukuh,” katanya kepada Bernama di astaka Malaysia pada pameran CIIE di sini, pada Jumaat.
The Atelier ditubuhkan pada 1986 di Kuala Lumpur sebelum mengembangkan sayapnya ke Shanghai pada 2013. Jenama itu sering menjadi pilihan golongan berpengaruh serta artis terkenal di China.
Menurut Sharimahton, CIIE adalah platform terbaik bagi memperkenalkan produk Malaysia selain produk makanan dan minuman.
“Industri makanan dan minuman Malaysia telah sinonim dengan rakyat China. Jadi, pada ekspo kali ini kita turut memperkenalkan sektor industri kreatif dan teknologi.
“Kita mahu rakyat China tahu yang Malaysia juga mempunyai produk kreatif berkualiti yang dilihat mampu menembusi pasaran China,” katanya sambil memaklumkan sebanyak 54 syarikat Malaysia menyertai ekspo kali kedua itu.
Selain itu, lebih 2,000 syarikat asing dari 120 negara turut memanfaatkan platform CIIE sebagai medan mencari pelanggan berpotensi dari negara ekonomi kedua terbesar dunia itu.- BERNAMA