BARU-BARU ini kita tersenyum sendiri bila membaca kisah ‘diplomasi sambal belacan’ yang secara tidak langsung telah menjadi instrumen mengeratkan lagi hubungan dua hala Malaysia-Singapura.

Ia terjadi bila Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkongsi kisah menarik mengenai sambal belacan hasil air tangannya yang digemari oleh seorang pemimpin dunia.

Menurut Bernama, siapa sangka sambal belacan yang sudah menjadi kelaziman untuk dinikmati bersama nasi putih mahupun juadah masakan lain bagi rakyat Malaysia turut memikat hati bekas Perdana Menteri Singapura iaitu mendiang Lee Kuan Yew.

Dalam satu hantaran di laman Twitter, Tunku Azizah yang lebih dikenali ‘cheminahsayang’ dalam platform media sosial itu menarik perhatian bahawa baginda pada masa dahulu merupakan pembekal rasmi sambal belacan kepada Lee.

Malah, Raja Permaisuri Agong masih menjadi pembekal sambal belacan ke republik itu dan kini dinikmati oleh anak mediang Lee yang merupakan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.

Sesungguhnya Diplomasi ialah seni dan amalan mengendalikan rundingan di antara wakil kumpulan-kumpulan atau negara-negara.

Istilah ini sering merujuk kepada amalan diplomasi antarabangsa, iaitu pengendalian perhubungan antara negara mahupun organisasi melalui rundingan di antara para diplomat professional.

Selalunya ia menjurus kepada isu-isu berkenaan isu-isu perdamaian, perdagangan, peperangan, ekonomi dan budaya.

Kita masih ingat bagaimana dalam naskhah Hikayat Merong Mahawangsa, pengarangnya menceritakan tentang peristiwa bermulanya pemberian hadiah bunga emas dan perak oleh kerajaan Kedah kepada Raja Siam.

Idea pemberian sepohon bunga emas dan bunga perak sebagai hadiah diplomatik tercetus apabila Raja Seri Mahawangsa, iaitu raja Kedah memperolehi pelbagai bingkisan yang indah serta mendapat warkah pemberitahuan daripada raja Siam yang mengatakan baginda telah mendapat seorang putera.

Setelah Raja Siam menerima hadiah bunga emas dan bunga perak daripada Raja Seri Mahawangsa, baginda telah membuka sempadan politik kerajaannya kepada kerajaan Kedah.

Raja Siam turut berjanji akan membantu kerajaan Kedah dalam semua aspek. Baginda tidak akan membiarkan Kedah menghadapi pelbagai musibah atau masalah secara bersendirian.

Justeru, keadaan ini telah mewujudkan situasi ‘kesepakatan bersama’ antara kedua buah kerajaan, nampak tak?

Dalam era moden, kita tak mungkin lupa bagaimana ‘diplomasi ping pong’ akhirnya berjaya memperbaiki hubungan antara kerajaan China dan Amerika Syarikat yang sebelum ini sentiasa berada dalam ‘pergolakan dan perseteruan’.

Dalam hal ini, China memilih pendekatan lembut antaranya melalui sukan ping pong untuk menormalisasikan hubungan diplomatik mereka dengan Amerika Syarikat.

Segalanya terjadi secara kebetulan iaitu sewaktu kejohanan sukan tersebut di Jepun tahun 1971. Ketika itu salah seorang pemain ping pong AS, Glenn Cowan secara tidak sengaja telah tertinggal bas.

Disebabkan insiden tersebut beliau diajak menaiki bas yang membawa kontinjen dari negara China.

Apa yang berlaku, kisah Cowan menaiki bas dengan pemain China itu mendapat liputan besar-besaran dan luar biasa daripada media antarabangsa hingga sampai ke pengetahuan pemimpin komunis China, Mao Zedong.

Mao kemudiannya mengundang pasukan ping pong AS dan sejumlah wartawan melawat negaranya sehinggalah strategi diplomasinya ini akhirnya dikenali sebagai Diplomasi Ping Pong!

Diplomasi ping pong ini memberikan kesan yang sangat positif terhadap hubungan antara China dan AS sehinggakan pemimpin negara Uncle Sam itu terkesan dengan perubahan sikap yang ditunjukkan oleh negara komunis berkenaan.

Ini membuat Presiden Richard Nixon tertarik untuk berkunjung ke China dan pada pada bulan Februari 1972, sejarah dunia terukir apabila Nixon sampai ke bumi tembok besar itu sekaligus berjaya membawa dimensi baru hubungan antara dua buah negara besar yang sekian lama bergolak itu.

Sesungguhnya pemberian bunga emas Raja Seri Mahawangsa kepada Raja Siam, diplomasi ping pong dan pemberian sambal belacan Tuanku Aminah kepada Perdana Menteri Singapura adalah antara bukti bagaimana peranan diplomasi dalam mengeratkan hubungan di antara negara dan kerajaan.

Mungkin kata-kata Ahli Parlimen British yang terkenal, mendiang Tony Benn ini ada kebenarannya.

“All war represents a failure of diplomacy.”

Begitulah.