Cop palsu imigresen yang digunakan sindiket.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket pemalsuan cop imigresen dalam operasi yang dilakukan Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa JIM Putrajaya pada 1 November lalu di Klang dan Puchong, Selangor.

Bayaran untuk mendapatkan cop palsu adalah sebanyak RM50 setiap satu cop.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata,  serbuan pertama dilakukan setelah intipan dilakukan selama enam jam di Klang.

Hasil serbuan itu, seorang lelaki warga Indonesia berusia 35 tahun yang menjadi dalang utama dalam sindiket pemalsuan cop imigresen ditahan.

“Semasa pemeriksaan, dua pasport ditemui di dalam poket seluar suspek. Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan suspek telah menemui satu pasport yang disembunyikan dalam kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Khairul Dzaimee, serbuan kedua dilakukan ke atas sebuah rumah yang terletak di Puchong.

Jelasnya, rumah tersebut disewa oleh suspek untuk dijadikan sebagai tempat membuat cop-cop palsu imigresen.

Rumah tersebut juga dijadikan sebagai rumah transit untuk mereka yang ingin pulang ke negara asal.

“Ketika serbuan dilakukan, terdapat tujuh wanita berusia di antara 29 hingga 39 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan 6 tahun.

“Kesemua mereka adalah warganegara Indonesia dan ditempatkan sementara di rumah tersebut oleh suspek yang sedang menguruskan penghantaran mereka ke negara asal,” ujarnya.

Khairul Dzaimee berkata, pemeriksaan dalam rumah tersebut menjumpai 13 pasport Indonesia, sembilan Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) Indonesia yang disyaki palsu dan 38 cop keselamatan imigresen yang dipalsukan.

Turut disita adalah sebuah kenderaan jenis Nissan Grand Livina milik suspek, katanya.

Katanya, kegiatan suspek tidak hanya tertumpu di kawasan Lembah Klang, malah terdapat ejen-ejen kecil dari luar terutamanya dari Pulau Pinang dan Johor yang menghantar pasport warga asing kepada suspek untuk mendapatkan cop palsu serta urusan untuk pulang ke negara asal.

Suspek ditahan di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 kerana memalsukan suatu pas atau endorsement dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 kerana memiliki pasport yang dikeluarkan untuk kegunaan orang lain tanpa kebenaran yang sah.

Seramai tujuh wanita dan seorang kanak-kanak ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) kerana masuk dan tinggal di Malaysia tanpa Pas atau permit yang sah dan Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal di Malaysia setelah pas atau permit tamat. – MalaysiaGazette