Calon Barisan Nasional, Datuk Dr. Wee Jeck Seng meluangkan masa beramah mesra dengan sebahagian penduduk semasa sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Restoran 8833 Kopitiam, Pontian, Johor. foto AFFAN FAUZI, 06 NOVEMBER 2019

PONTIAN – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Wee Jeck Seng membidas sikap Pakatan Harapan (PH) terutama DAP yang menggunakan serangan peribadi terhadapnya semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Ketika ditemui media semasa melakukan walkabout hari ini, beliau mempersoalkan parti itu yang berkempen dengan menggunakan strategi fitnah sedangkan langkah seperti itu tidak dilakukan olehnya.

“Ini fitnah, kalau tidak timbulkan isu-isu sedemikian tak boleh ke?

“Sepatutnya sebagai kerajaan dia (PH) kena buat perbandingan secara dasar.

“Bukan dengan serang saya, mengapa dia serang saya. Saya tak serang mereka, kalau nak serang lagi banyak isu boleh serang,” katanya ketika ditemui semasa melakukan walkbout bertemu pengundi hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan PH yang didakwa telah mula menggunakan strategi serangan peribadi ketika berceramah.

Mengulas lanjut Jeck seng berkata, pada masa ini beliau sedang mengkaji langkah untuk mematahkan serangan yang dilakukan oleh DAP sambil terpaksa memberi tumpuan kepada aktiviti kempen yang banyak ketika ini.

“Saya tak boleh komen sebarang dan kena dapatkan maklumat yang tepat takut ia jadi isu lain pula,” ujarnya.

Dalam pada itu Jeck Seng yang merupakan calon BN dari parti MCA menegaskan, PH perlu lebih bertanggungjawab dengan mengamalkan permuafakatan secara harmoni.

Ujarnya, PH tidak boleh membuat sebarang keputusan secara sendiri tanpa mendengar suara dan juga rintihan rakyat.

Sementara itu dalam perkembangan lain beliau berkata, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk mengangkat isu pendidikan yang ada agar dapat diselesaikan secara harmoni dan semua itu akan dilakukan jika beliau diberi mandat untuk menjadi wakil rakyat di Parlimen Tanjung Piai.

Katanya, sebagai sebuah negara mutiracial perkara itu perlu diberi perhatian oleh kerajaan dan pembangkang akan menjadi penyemak dan pengimbang dalam setiap agenda yang dibawa oleh mereka.

“Kita kena adil dan kita kena beri keperluan tidak kira agenda apa sekalipun. Yang penting pendidikan kita mesti ada kualiti,” ujarnya. – MalaysiaGazette