Bukan Islam melihat sumber zakat sangat besar makanya ia perlu dimanfaatkan oleh seluruh masyarakat.

KUALA LUMPUR – Cadangan supaya wang zakat turut diagihkan kepada bukan Islam bukan pertama kali berlaku di negara ini.

Malah, ketika politik baharu Malaysia mula digerakkan dan mencapai sedikit kejayaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 2008, pandangan sedemikian telah mula dibuat khususnya di Selangor.

Menurut Ketua Penerangan penaja Parti Putra Malaysia, Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mohd Tahir, selepas beberapa bulan kepimpinan politik kerajaan Selangor bertukar timbul cadangan segelintir politikus liberal untuk meminda amalan status quo yang telah lama dipraktikkan.

“Atas nama dan perjuangan kebersamaan, mereka mendesak agar hak yang ada dalam institusi Islam dikongsikan bersama dengan bukan Islam, termasuk penyediaan peruntukan kepada lain-lain rumah ibadat dan pembahagian kutipan zakat yang dipungut daripada umat Islam.

“Alasan mereka ialah semua rakyat merupakan pembayar cukai dan kerana itu mereka berhak untuk mendapat agihan yang sama,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Aziz Jamaludin menjelaskan, cadangan itu semakin memuncak apabila kepimpinan politik berubah menjelang PRU ke-14.

Ketika itu, ujarnya wujud desakan dari kumpulan bekas pegawai kanan kerajaan agar peruntukan kepada institusi Islam tidak dimasukkan dalam bajet dan hal ehwal agama Islam bukan menjadi urusan kerajaan Persekutuan.

Alasannya ialah hal ehwal agama Islam berada dalam bidang kuasa kerajaan negeri iaitu di bawah sultan atau Raja-Raja Melayu.

Kata Aziz Jamaluddin, muncul pelbagai perdebatan hangat, yang akhirnya menyaksikan beberapa perkara yang sebelumnya tidak berlaku telah diberikan sedikit kelonggaran secara langsung dan tidak langsung.

“Selepas itu, kerajaan mula menyalurkan peruntukan khas kepada institusi pendidikan vernakular dan bantuan kepada secara one-off kepada rumah ibadat bukan Islam.

“Rakyat Malaysia masih boleh menerima tindakan tersebut kerana ia turut melibatkan pembayar cukai oleh bukan Islam, tetapi mengenai agihan zakat kepada bukan Islam, ia tidak dapat diterima.

“Hujahnya, kutipan zakat itu diperoleh dari individu Islam dan institusi yang ada kaitannya dengan umat Islam. Umpamanya Tabung Haji, semua pencarumnya adalah umat Islam,” katanya.

Beliau menyatakan, bukan Islam melihat sumber zakat adalah besar, misalnya, tahun 2018 kutipan zakat di Wilayah Persekutuan berjumlah RM651.22 juta, diikuti Selangor (RM794 juta), Pahang (RM130 juta), Melaka (RM87.8 juta), Pulau Pinang (RM114.8 juta) dan dianggarkan keseluruhannya melangkaui RM2 bilion.

Atas dasar itulah, katanya, banyak pihak melihat sumber kewangan dari zakat yang dikeluarkan oleh umat Islam dan entiti perniagaan berkaitan Islam adalah besar dan perlu dimanfaatkan oleh seluruh masyarakat.

Sedangkan, sebahagian dari golongan itu tidak melihat apa sebenarnya yang terkandung dalam falsafah zakat yang disyariatkan oleh Islam berbanding kutipan cukai oleh kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast