Mengikut kajian, kaum wanita amnya, lebih kerap dilanda kemurungan berbanding lelaki.

“Of all the queens that ever lived, I chose thee to rule me, mine very own Haseena, my one and only, to the very marrow thou will see I love ye, O’ how in the world am I to live without thee?

BAIT puisi di atas adalah nukilan bekas Hakim Mahkamah Agung, Tan Sri Eusoffe Abdoolcader terhadap arwah isterinya, Haseena.

Eusoffe adalah salah seorang daripada lima hakim kanan yang digantung tugas ketika krisis kehakiman negara pada 1988.

Beliau juga seorang peguam yang sangat dihormati dan diiktiraf antara hakim terbaik pernah ada di Malaysia!

Walaupun krisis kehakiman tersebut antara isu paling hangat yang pernah terjadi dalam negara, namun ia bukanlah satu perkara utama yang meruntun hatinya.

Namun pemergian Haseena akibat penyakit kanser tekak pada tahun 1993 benar-benar telah merentap jiwa dan semangatnya sehingga beliau mengalami kemurungan yang tak mampu digambarkan dengan kata-kata.

Satu perkara menarik di antara Eusoffe dan isterinya itu, mereka berkomunikasi dengan menggunakan bahasa Melayu yang ‘simple’ kerana Haseena adalah anak Cina yang bertutur dalam bahasa ibundanya manakala Eusoffe lebih menggunakan bahasa Inggeris.

Sejak pemergian isterinya, setiap tahun ketika ulang tahun kematian Haseenah, Eusoffe akan membeli ruangan iklan di akhbar semata-mata untuk menyampaikan sajak karangannya yang ditujukan khas wanita yang cukup dicintainya itu.

Ketika hidup, Eusoffe pernah menolak untuk menjalani pembedahan kerana lebih rela mati dulu sebelum isterinya.

“Kemudian beliau tukar fikiran, dan menjalani pembedahan itupun selepas kami tanya siapa akan menjaga Haseenah jika beliau mati dulu,” kata sahabat karib Eusoffe, TD Ampikaipakan dalam satu temubual dengan media tidak lama dulu.

Kemurungan melampau yang dialami oleh Eusoffe disebabkan kematian Haseena telah menyebabkan beliau memilih pertimbangan sendiri. Mayatnya ditemui terbujur kaku di rumahnya di Taman Jesselton, Pulau Pinang pada 11 Januari 1996 dalam usia 70 tahun.

Sesungguhnya Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerusi statistik pada tahun 2015 mendapati, 322 juta penduduk dunia mengalami kemurungan. Angka itu meningkat hampir 18.4 peratus berbanding tahun 2005.

Statistik Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan yang dijalankan pada tahun sama pula mendapati, kira-kira satu pertiga penduduk di Malaysia mengalami penyakit kemurungan seumur hidup.

Jangan terkejut, kemurungan akan menjadi penyakit kesihatan mental utama dialami rakyat Malaysia menjelang 2020 susulan semakin ramai dijangka mengalami peningkatan stres akibat tekanan kerja dan keluarga.

Paling menakutkan, ramai yang mengalami masalah kemurungan ini akhirnya mengambil langkah menamatkan riwayat hidup mereka sendiri atau bahasa mudahnya – bunuh diri!

Jika dilihat secara global, hampir 90 peratus individu yang membunuh diri mempunyai masalah mental pada saat sebelum kematian dan 60 peratus daripada mereka mengalami kemurungan.

Ia sekaligus menjadikan bunuh diri adalah di antara 10 penyebab utama kematian di dunia.

Walaupun bukan setiap pesakit yang mengalami kemurungan berniat untuk membunuh diri, ramai dalam kalangan mereka didapati sudah lama bergelut dengan masalah itu.

Mengikut kajian, kaum wanita amnya, lebih kerap dilanda kemurungan berbanding lelaki.

Malangnya, lelaki mempunyai empat kali ganda lebih tinggi kebarangkalian untuk mengambil nyawa mereka sendiri, apabila mengalami kecelaruan yang sama.

Secara purata, satu kematian berlaku setiap 40 saat menjadikan hampir 800,000 orang mati setiap tahun akibat bunuh diri.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Kesihatan telah menyediakan perkhidmatan kesihatan mental di peringkat kesihatan primer di mana sebanyak 1,001 klinik kesihatan dan lebih 200 orang Pakar Perubatan Keluarga memberikan perkhidmatan promosi, saringan dan intervensi kesihatan mental.

Selain itu, empat (4) buah institusi mental, 60 hospital kerajaan dan 25 buah Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI) di seluruh Malaysia turut menawarkan perkhidmatan psikiatri, kaunseling dan psikoterapi kepada individu yang mengalami kemurungan serta pengurusan kes berkaitan tingkah laku bunuh diri.

Terdapat juga Pertubuhan Bukan Kerajaan seperti The Befrienders, Malaysian Mental Health Association (MMHA) dan Mental Illness Awareness Support Association (MIASA) yang turut menawarkan perkhidmatan sokongan kepada individu yang mengalami masalah emosi, kemurungan, dan keinginan untuk membunuh diri.

Apapun sebagai umat Islam, ingatlah, setiap masalah yang kita hadapi itu pasti ada penyelesaiannya kerana Allah SWT tidak akan membebani sesuatu kecuali ia masih dalam batas kemampuan kita.

Allah Ta’ala berfirman: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya” (Surah Al Baqarah: 286).

Dan solusi dalam permasalahan hidup itu pasti diperoleh jika kita kembali kepada Allah, kembali kepada agama, mendekatkan diri kepada Rabb dengan menjalankan berbagai ketaatan dan menjauhi segala larangan.

“Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar” (Surah At Thalaq: 2).

Wallahualam. – MalaysiaGazette