Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu mengetahui pendirian kerajaan negeri Terengganu berhubung isu pakaian atlet gimnastik wanita.

Merujuk kepada maklum balas kerajaan Terengganu kepada Channel News Asia (CNA) yang berpangkalan di Singapura hari ini bahawa negeri itu tidak akan membenarkan gimnas wanita negeri menyertai pertandingan kerana bimbang isu pakaian, menteri berkata ia bercanggah dengan persetujuan awal negeri pantai timur itu.

Sebelum ini, negeri itu menyatakan akan membenarkan gimnas wanitanya mengambil bahagian dalam Sukan Malaysia (Sukma) tahun depan, katanya.

“Mereka memberitahu saya bahawa mereka akan membenarkan gimnas mengambil bahagian dalam Sukma. Perkara itu tidak akan menjadi masalah.

“Bagaimanapun, pada masa yang sama, menyatakan perkara lain apabila ditanya oleh media. Ketidakpastian membunuh bakat,” katanya dalam kumpulan WhatsApp media kementeriannya.

Laporan khas CNA berjudul: ‘Dreams dashed for Terengganu’s aspiring female gymnasts as state bars them from competitions over attire concerns’, melaporkan bahawa garis panduan baharu sukan kerajaan Terengganu boleh menjejaskan impian atlet gimnastik berbakat.

Syed Saddiq berkata, beliau tidak akan bertolak ansur dalam isu itu dan memastikan masa depan atlet sukan berkenaan terjamin.

“Saya akan segera mengadakan mesyuarat untuk menyelesaikan isu ini. Sekiranya benar, KBS (Kementerian Belia dan Sukan) akan mengambil alih daripada MSN (Majlis Sukan Negeri) Terengganu dan menyerap atlet muda mereka yang didiskriminasi.

“Saya secara peribadi akan bertemu dengan para atlet yang terlibat untuk memastikan masa depan mereka dalam sukan gimnastik tidak terjejas,” katanya. – MalaysiaGazette