Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hadir bersama barisan kepimpinan tertinggi DAP Selangor pada Konvensyen Tahunan Negeri DAP Selangor 2019 di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI, 10 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang intipati ucapan pada Konvensyen DAP Selangor 2019 yang menyentuh isu sentimen perkauman menuding jari kepada pembangkang sebagai dalangnya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut melahirkan rasa ‘gusar’ kerana perkauman ektremis kononnya hanya dimainkan oleh pembangkang telah menyumbang kepada keadaan huru hara dan porak peranda dalam kalangan rakyat.

Malah Guan Eng mencabar pemimpin parti pembangkang yang cepat menjatuhkan ‘hukuman’ khasnya kepada DAP yang didakwa banyak menggunakan isu perkauman sehingga pernah mendesak parti itu diharamkan.

Berikutan itu, Setiausaha Agung DAP mengingatkan UMNO dan Pas untuk bersedia diambil tindakan kerana mendakwa mengeluarkan pelbagai kenyataan berkontorversi, fitnah yang telah memudaratkan perpaduan rakyat pada masa ini.

“Dulu UMNO mahu haramkan perkataan Pas, kini mahu haramkan DAP pula. Bila dia cakap mesti ada kebebasan, bila kita cakap kena diharamkan pula cepat-cepat.

“Adakah pemimpin UMNO dan Pas akan ambil tindakan sekiranya kita boleh buktikan siapakah yang keluarkan kenyataan perkauman seperti itu?

“Siapa yang keluarkan kenyataan seorang yang bukan Islam tidak boleh jadi Menteri Kabinet? Tidak lain tidak bukan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Siapa yang persolakan keputusan mahkamah sekiranya dilihat sebagai tidak memihak kepada satu kaum? Presiden UMNO sendiri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Siapa cakap Jakim proses sijil haram? Jakim bawah Kementerian Kewangan, di bawah Lim Guan Eng? Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri.

“Ini satu fitnah jahat, bila kita dedah dan cakap, semua orang akan diam dan teruskan fitnah-fitnah ini. Mereka terus timbulkan kebencian, pecah belahkan dalam kalangan rakyat kita. Porak perandakan kerajaan supaya boleh jadi kerajaan pintu belakang.

“Ini sebabnya kita kena berhati-hati dan bongkarkan politik perkauman dan agama ini kepada rakyat dari masa ke semasa.

“Adakah Pas dan UMNO bersedia untuk diambil tindakan kerana keluarkan kenyataan seperti ini? Saya mahu tahu,” soalnya.

Guan Eng tetap mempertahankan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tetap utuh dalam memperjuangkan semua kaum, agama dan latarbelakang manakala pembangkang hanya mahu menggunakan isu-isu yang menyentuh sentimen kumpulan tertentu untuk menangi hati rakyat.

“Kita utamakan perpaduan untuk semua, mereka ini hanya pecah belahkan semua,” ujarnya. – MalaysiaGazette