Afzal Abdul Rahim (kiri).

PUTRAJAYA – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yakin ia akan disenaraikan semula dalam Kategori 1 di bawah ranking Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat (AS) bagi keselamatan udara dalam tempoh 12 hingga 24 bulan.

Ahli Lembaga CAAM, Afzal Abdul Rahim berkata pihaknya yakin dapat menyelesaikan perkara yang dibangkitkan FAA dalam tempoh tersebut.

CAAM juga meminta FAA untuk menilai semula perkara tersebut sebaik sahaja badan ini bersedia, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam kenyataan semalam, CAAM berkata keputusan FAA menurunkan taraf keselamatan udara Malaysia adalah disebabkan kelemahannya sebagai sebuah pengawal selia penerbangan, selepas FAA menjalankan penilaian pada April 2019.

Malaysia berada dalam Kategori 1 sejak 2003.

Afzal berkata CAAM mengakui terdapat beberapa kelemahan dan pihaknya akan melakukan penambahbaikan secara konstruktif, selain perubahan serius dalam struktur serta operasi badan ini.

CAAM perlu menjawab 300 soalan semasa penilaian FAA berkaitan sistem pengawasan penerbangan, namun, FAA telah membangkitkan 33 isu yang perlu ditangani CAAM.

Beliau berkata daripada perspektif CAAM, ia mengenal pasti hanya 22 isu berbanding 33 oleh FAA.

Beliau turut menegaskan keputusan FAA itu hanya melibatkan peranan CAAM sebagai pengawal selia penerbangan, dan ia sama sekali tidak menjejaskan syarikat penerbangan, lapangan terbang atau perkhidmatan trafik udara di bawah bidang kuasanya.

Pada masa ini, satu-satunya laluan syarikat penerbangan Malaysia ke AS adalah dikendalikan oleh AirAsia X Bhd dari Kuala Lumpur ke Honolulu melalui Osaka, Jepun.

“Penerbangan sedia ada diteruskan namun mereka tidak boleh menambah kapasiti baharu, kekerapan dan destinasi baharu sehingga kita kembali semula kepada status Kategori 1,” katanya.

Ketika ditanya sama ada keputusan FAA itu turut menjehaskan perkongsian kod syarikat penerbangan melibatkan syarikat Malaysia, Afzal berkata CAAM sedang menunggu penjelasan lanjut mengenainya jika ia turut membabitkan pengaturan perkongsian kod sedia ada.

Semasa ditanya mengapa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mengetahui mengenai keputusan FAA itu, beliau berkata ia berada di luar tanggungjawab CAAM.

Afzal berkata memandangkan CAAM adalah agensi di bawah Kementerian Pengangkutan, menjadi tanggungjawab kementerian untuk memaklumkan kepada Kabinet dan perdana menteri.

Mengenai sama ada penurunan taraf itu berkaitan kekurangan kecekapan pengurusan, beliau berkata wujud kecekapan dalam CAAM dan ia merupakan peluang jelas untuk badan pengawal selia ini melakukan penambahbaikan secara serius.- BERNAMA