Bendera PKR..

KUALA LUMPUR – Tindakan membatalkan jemputan kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai perasmi Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) hanya mencermin dan menguatkan desas-desus bahawa parti itu sedang dilanda krisis kepimpinan.

Ahli-ahli Pimpinan AMK Malaysia berkata, tindakan membatalkan jemputan tersebut merupakan suatu langkah yang bertentangan dengan semangat kongres, konvensyen serta tradisi organisasi itu.

“Pembatalan itu hanya mencerminkan Keadilan sedang dilanda krisis kepimpinan dan menyebabkan parti berada dalam keadaan yang berantakan.

“Tindakan itu dan kenyataan Setiausaha Agung juga akan memberi mesej dan teladan salah kepada anggota khususnya generasi baru dalam Keadilan.

“Melainkan, jika Setiausaha Agung mahu perpecahan dan keberantakan dalam parti ini terus berlaku,” kata 21 daripada 25 pimpinan AMK Malaysia dalam satu kenyataan bersama, hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan menyerahkan kepada sayap parti itu untuk mengundang pemimpin pilihan mereka bagi merasmikan kongres pada bulan depan.

Menurut Saifuddin, beliau tidak terlibat dalam memilih pemimpin untuk terlibat dalam kongres tersebut.

Kongres Nasional AMK PKR akan berlangsung di Melaka International Trade Centre (MITC), pada 6 Disember ini

Antara pimpinan AMK PKR yang menyokong kenyataan itu adalah Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham, Naib Ketua Pemuda PKR, Mohd Nazree Yunus dan Jestin Raj Savarimuthu.

Selain itu, kenyataan bersama itu turut disokong beberapa Ahli Majlis Pimpinan Pemuda PKR negeri iaitu Ahmad Khairul Mohamed Noor (Melaka), Athina Klaywa Sim (Sarawak), Ahmad Khusyairi Khalid (Terengganu) dan Kamis Burhan (Sabah).

Turut menyokong ialah Mohd Akmal Hisyam Ahmad Tamyiz (Wilayah Persekutuan), Mohd Faizal Mohd Yusak (Johor), Mohd Firdaus Yusof (Kedah), Mohd Izad Buqhari Mohd Kamri (Pulau Pinang), Mohd Saifullah Mohd Zulkifli (Selangor), Muhammad Affandi Abdul Malik (Negeri Sembilan) Muhamad Aiman Aizuddin Md Husin (Perak), Muhamad Saiful Bahari Sahari (Johor).

Selain itu, kenyataan itu juga disokong oleh Muhammad Arif Mukhtar (Kelantan), Nagarajan Kaniappan (Selangor), Nik Mohd Faris Syazwan Zainuzzaman (Kelantan), Ong Jing Cheng (Pulau Pinang) dan Sarawanan Selvarajoo (Selangor) serta Wan Mohamad Fitri Wan Abdul Rahim (Pahang). – MalaysiaGazette