Calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini bercakap kepada media selepas Program Ziarah Kasih sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P. 165 Tanjung Piai di Taman Utama Pekan Nanas, Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 13 NOVEMBER 2019.

PEKAN NANAS – Calon Pakatan Harapan berjanji akan menubuhkan Pusat Khidmat Parlimen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas dan DUN Kukup sekiranya berjaya diangkat sebagai Ahli Parlimen Tanjung Piai dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan berlangsung Sabtu ini.

Karmaine Sardini berkata, pembukaan dua pusat khidmat itu penting untuk memudahkan penduduk di kedua dua DUN mengetengahkan sebarang permasalahan dan tuntutan di masa akan datang.

“Itu rancangan saya Insyallah sekiranya diangkat sebagai wakil rakyat Tanjung Piai nanti dengan mandat besar pengundi Sabtu ini.

“Kalau semua letak di Pontian sangat jauh, kalau ada dua pusat khidmat di Pekan Nanas dan Kukup memudahkan penduduk berurusan.

“Kadang-kadang orang tempatan mengadu pusat khidmat Pontian sebelum ini sangat jauh khususnya kepada mereka yang naik motor agak sukar datang,” katanya kepada pemberita di Taman Utama di sini ketika program Ziarah Kasih sebagai program kempen PRK yang berbaiki dua hari lagi.

Ditanya langkah pertama beliau selepas menang PRK, katanya, beliau akan melihat semula kesemua perancangan dan permintaan masyarakat yang tidak sempat dilaksanakan oleh arwah Md Farid Md Farik.

Ditanya harapan dua hari lagi berkempen sebelum hari mengundi Sabtu ini, katanya beliau mempunyai keyakinan tinggi pengundi ramai akan beralih dan menyokong PH termasuk aura kehadiran Tun Mahathir malam ini.

“Saya sebagai Islam biasa keluar jumpa masyarakat umum, rumah ke rumah mudah dekati mereka bukan menerusi ceramah.

“Kesederhanaan saya dari dulu lagi, mungkin boleh membantu dan itu yang dilihat pengundi ketika didekati rumah ke rumah dan ceramah kelompok kecil kecilan termasuk masyarakat di Masjid setiap pagi.

“Memang nak pergi semua tempat tapi tak sempat dan agak mustahil. Maka kami edarkan juga risalah ke setiap rumah tanpa mengambil kira rumah bendera biru ke merah,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette