Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berucap pada Majlis Perasmian Kongres Nasional Tahunan bersama Wanita PKR & AMK PKR di Dewan Sivik, MBPJ. foto SAFWAN MANSOR, 19 MEI 2017

KUALA LUMPUR – Setelah 21 daripada daripada 25 Ahli Pimpinan Pusat Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, membuat kenyataan membantah keputusan parti itu membatalkan jemputan kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi merasmikan Kongres Nasional sayap itu di Melaka, 6 Disember depan.

Seorang Exco AMK Pusat, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli berkata, beliau tidak pernah bersetuju untuk namanya digunakan dalam kenyataan itu.

Mohd Saifullah yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pemuda PKR Selangor berkata, tiada pihak yang menghubunginya untuk memaklumkan perkara kepada beliau sebelum ini.

“Saya menerima banyak panggilan dan pelbagai pihak ingin mendapatkan kepastian.

“Saya yakin dan percaya dengan kematangan AMK serta semangat musyawarah melalui saluran dalam parti dapat menyelesaikan kemelut ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Dalam ‘Kenyataan Media Bersama Kepimpinan AMK Malaysia’ yang bertarikh 13 November 2019, Mohd Saifullah di antara 21 ahli pimpinan AMK yang membantah keputusan parti itu membatalkan jemputan kepada Azmin Ali.

Bantahan itu dinyatakan melalui kenyataan bersama mereka diketuai Timbalan Ketua AMK, Hilman Idham, semalam.

Menurut kenyataan berkenaan, pembatalan jemputan itu mencerminkan betapa PKR sedang dilanda krisis kepemimpinan sehingga menyebabkan parti berada dalam keadaan yang berantakan.

“Kami berpendirian bahawa sikap dan tindakan membatalkan jemputan itu adalah satu langkah yang sama sekali bertentangan dengan semangat kongres, konvensyen dan tradisi organisasi,” kata mereka.

Mohd Saifullah dalam pada itu berpendapat kemelut ini hanya berpunca dari salah faham dan ‘miss communication’ dalam organisasi.

“Dalam AMK Malaysia, kita semua adalah satu unit yang sama dan perlu patuh kepada kepimpinan PKR.

“Tidak dinafikan bahawa akan wujud perbezaan pandangan dan cara, namun hendaklah semua pihak bersemuka, menggunakan saluran parti dan mencari jalan penyelesaian tanpa perlu melibatkan pihak media,” katanya lagi.

Semalam, Ketua AMK, Akmal Nasir berkata sayap PKR itu memecahkan tradisi perasmian Kongres mereka disebabkan kapasiti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Kata beliau, keputusan itu diputuskan oleh kepimpinan AMK pada mesyuarat pada 20 Oktober lalu. – MalaysiaGazette