Pemilik Kelab Johor Darul Ta'zim (JDT),Tunku Ismail Sultan Ibrahim berasama pemain-pemain JDT bergambar dengan Piala Malaysia selepas dinobatkan sebagai juara bagi edisi 2019 pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 antara Kedah menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 02 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) menerima durian runtuh sebanyak RM500,000 daripada kerajaan Johor susulan kejayaan menjuarai Piala Malaysia 2019, pada 2 November 2019 lalu.

Insentif ini diberikan sebagai dorongan dan pemangkin di atas semangat serta komitmen yang ditunjukkan pasukan JDT sehingga berjaya memenangi piala berprestij ini.

Bagaimanapun pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemangku Sultan Johor berkenan untuk mengurniakan semula insentif ini kepada kerajaan negeri itu.

Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Sr Sahruddin Jamal dalam satu kenyataan, kurniaan semula ini adalah bagi menampung pembelian bot pengutip sampah untuk tujuan pembersihan sungai-sungai di negeri berkenaan demi melestarikan alam sekitar dan mengatasi masalah pencemaran yang berlaku.

“Kerajaan Negeri Johor menjunjung setinggi-tinggi kasih dan penghargaan di atas keprihatinan Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja. Allah Peliharakan Sultan,” katanya.

Sebelum ini kerajaan Johor mengumumkan Ahad sebagai cuti khas peristiwa pada 3 November lalu sempena kejayaan tersebut.

Kemenangan itu membolehkan JDT menebus kekecewaan final edisi 2014 selain melakar kemenangan kedua ke atas Kedah di pentas final selepas kejayaan menamatkan kemarau 26 tahun menjuarai Piala Malaysia pada edisi 2017.

Kejayaan merangkul piala berprestij itu hadir lima bulan selepas skuad kendalian ketua jurulatih Benjamin Mora dinobatkan sebagai juara Liga Super buat kali keenam berturut-turut pada Jun lalu.

Lebih manis, ia merupakan kejayaan ketiga JDT dalam saingan musim ini apabila turut meraih gelaran juara Piala Sumbangsih sementara Kedah yang menjuarai Piala FA terpaksa melupakan hasrat menambah koleksi kejuaraan. – MalaysiaGazette