Allahyarham Nazrin Hassan

SHAH ALAM – Seorang bekas anggota polis hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, kenyataannya sebagai saksi kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan, bukan suatu cerita rekaan.

Saksi ke-12 pendakwaan, Nur Ronal Ardes Amir, 39, berkata semua keterangannya dalam kenyataan saksi dan juga semasa disoal balas peguam, adalah berdasarkan kepada apa yang dilihatnya semasa kejadian yang berlaku pada 14 Jun 2018 itu.

Nur Ronal Ardes merupakan bekas anggota berpangkat koperal yang bertugas dalam Unit Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, semasa kejadian kebakaran bilik tidur di tingkat atas kediaman Nazrin di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, dekat sini.

“Saya tak setuju apabila peguam kata saya mereka cerita (dalam) kenyataan saksi, kerana masa kejadian, saya ada di situ. Tiada sebab saya nak reka cerita. Saya tidak kenal mangsa (Nazrin) dan saya tidak kenal tertuduh (isteri Nazrin, Samirah Muzaffar).

“Saya pergi ke rumah itu (lokasi kejadian) untuk bantuan yang diminta oleh Unit Ronda Bermotosikal (URB) kerana dikatakan ada mangsa wanita,” katanya ketika menjawab pertanyaan Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Datuk Salim Soib@Hamid di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Ketika disoal balas oleh peguam Samirah, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bahawa beberapa keterangannya di mahkamah bercanggah dengan kenyataan saksi yang dibuatnya sebelum ini, bekas anggota polis itu tidak bersetuju dengannya.

Muhammad Shafee : Dalam keterangan (saksi lain) di mahkamah (sebelum ini), kita difahamkan, Samirah hanya naik sekali saja untuk lihat suaminya (tetapi) puan beritahu yang puan ada bawa Samirah naik ke atas. Saya kata cerita puan cerita bohong. Puan tak bawa Samirah naik ke bilik atas. Nak jadi hero dalam cerita ini

Nur Ronal Ardes : Saya tidak setuju.

Muhammad Shafee : Puan juga ada nyatakan yang puan tidak tahu apa barang diambil oleh Samirah semasa naik ke bilik yang terbakar, sedangkan dalam kenyataan saksi, puan nyatakan dia nak ambil wang. Puan sudah tahu. Jadi mana satu betul Hanya satu boleh betul atau dua-dua tak betul

Nur Ronal Ardes : Saya nak maksudkan adalah anak Samirah yang naik (ke bilik terbakar) dan saya tidak tahu apa yang hendak diambilnya.

Muhammad Shafee : Dalam soalan tambahan, puan kata Samirah ambil matawang asing. Perkara ini dibawa ke mahkamah bahawa wang itu kemungkinan dicuri semasa kebakaran dipadamkan. Sebab itu puan buat cerita ini. Adakah puan dipengaruhi oleh pegawai penyiasat Untuk ‘cover’ tindakan polis atau bomba

Nur Ronal Ardes : Saya tidak bersetuju.

Dalam pada itu, apabila disoal oleh Salim bilakah beliau sedar keterangannya di mahkamah bercanggah dengan kenyataan saksi yang dibuatnya sebelum ini, Nur Ronal Ardes menyatakan “Selepas peguam bercakap dengan saya, pagi ini”.

Nur Ronal Ardes turut menegaskan kepada mahkamah bahawa beliau tidak mengesyaki berlakunya sebarang unsur jenayah dalam kes kebakaran berkenaan, sehingga menonton berita di televisyen.

Pada 12 Mac lepas, Samirah, 44, bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 serta 14 tahun didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, membunuh Nazrin.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Perbicaraan bersambung Jumaat depan.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast