Najib Razak

PONTIAN – Datuk Seri Najib Razak membidas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng apabila membuat kenyatan kononnya beliau menghalang orang Cina daripada menjadi menteri kewangan.

Bekas perdana menteri berkata, serangan terbaharu Menteri Kewangan itu tidak benar kerana fakta yang diberikan adalah salah.

Menurut Najib, dalam ucapannya semalam ketika berceramah di Kampung Sawah, beliau hanya menujukan perkara itu kepada Guan Eng seorang dan bukan kepada orang Cina selepas merujuk kenyataannya sebelum ini apabila mengatakan bahawa penyatuan antara Pas dan UMNO akan menyebabkan berlakunya perang.

“Dia (Guan Eng) nak kata saya tak bagi orang Cina dilantik sebagai menteri kewangan. Itu tak betul. Saya kata tengoklah macam bekas menteri kewangan Tanah Melayu dan Malaysia, Tun San Siew Sin.

“Siew Sin tak macam Guan Eng, dia tak pernah cakap penyatuan Pas dan UMNO akan menyebabkan perang,” katanya ketika berceramah pada malam akhir kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di Penerok malam ini.

Najib yang juga Penasihat Barisan Nasional menegaskan, prinsip Muafakat Nasional yang sedang dijalin antara Pas, UMNO, MCA dan MIC merupakan satu perkara yang sangat indah demi menjaga kepentingan semua kaum di negara ini.

Ujarnya, masyarakat Islam dan bukan Islam wajib menyokong langkah itu demi menjaga kebajikan bersama.

Tambah Najib, Guan Eng telah tersilap membuat serangan terbaru ke atas dirinya dan perkara tersebut jelas membuktikan bahawa Ahli Parlimen Bagan itu suka membuat tuduhan tanpa usul periksa. – MalaysiaGazette