Shahruddin Mohamed (kiri) bertukar dokumen dengan Badlisyah Abdul Ghani (kanan) selepas MOA antara MyAngkasa dan PayHalal, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – PayHalal, pembayaran dalam talian patuh Syariah pertama di dunia mensasar penubuhan komuniti tanpa tunai untuk MyAngkasa, yang jangka dapat mencapai 7.2 juta ahli merentasi 14,800 koperasi pada suku kedua tahun depan.

Ini termasuk menubuhkan saluran pembayaran pinjaman kepada ahli-ahli koperasi melalui eDompet Wakallah yang closed loop (sistem kawalan tertutup).

Pengendali PayHalal, Souqa Fintech Sdn Bhd, baru-baru ini telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) dengan MyAngkasa Holdings Sdn. Bhd.

MyAngkasa adalah cabang perniagaan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa) sebuah apex koperasi yang mewakili semua peringkat koperasi di Malaysia.

Persefahaman ini juga akan melihat PayHalal menjadi saluran pembayaran tunggal yang patuh Syariah, menggantikan saluran-saluran pembayaran lain yang kini digunakan oleh koperasi-koperasi MyAngkasa.

PayHalal juga akan membantu MyAngkasa mengubah kepada cara digital bagi kutipan derma untuk Koperasi Kariah Masjid, dengan mengadakan sistem pembayaran Quick Response (QR) di masjid-masjid yang menjadi ahli koperasi.

Selain itu, PayHalal akan turut menawarkan persekitaran tanpa tunai bagi Kolej-Kolej Vokasional yang menjadi ahli koperasi, terutamanya untuk pembayaran asrama.

PayHalal juga bakal menyediakan pelantar e-Pasar untuk komuniti koperasi dibawah MyAngkasa bagi menggalakkan lagi perniagaan dalam talian, sekali gus meningkatkan pendapatan, yang akhirnya memberi dividen lebih tinggi kepada ahli-ahli.

MOA itu ditandatangani antara Datuk Badlisyah Abdul Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Souqa Fintech dengan Shaharuddin Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyAngkasa dan disaksikan oleh Datuk Abdul Fattah Abdullah, Presiden Angkasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast