Penduduk, Mohd Taib Ahmad ,67 (kiri) dan Aminah Kasbi, 89 menunjukkan dakwat kekal pada jarinya selepas selesai membuang undi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P. 165 Tanjung Piai di SK Telok Kerang, Pontian, Johor. foto AFFAN FAUZI, 16 NOVEMBER 2019.

PONTIAN – Mohd Taib Ahmad, 67, antara pengundi awal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup Parlimen Tanjung Piai yang  melaksanakan tanggungjawab mengundi bagi menentukan wakil rakyat baharu hari ini.

Bekas pekerja kilang itu berkata, beliau tidak pernah terlepas mengundi dalam apa jua keadaan sekalipun biarpun berdepan dengan masalah mata yang mengganggu penglihatannya.

“Pakcik tengok anak dah bangun awal bersiap untuk pergi mengundi, jadi saya pun ikutlah untuk undi di Sekolah Kebangsaan Telok Kerang pagi ini.

“Bagi saya ini satu kewajipan untuk melaksanakan hak demokrasi yang diberikan sebagai warga negara demi kesuburan kerajaan.

“Pakcik dah banyak kali mengundi pada PRU dan PRK, tak kira berapa kali entah. Walaupun penglihatan agak terjejas sedikit pakcik tak nak putus asa sebab ini hak saya dan saya gembira untuk turun undi,” katanya ketika ditemui dengan berkerusi roda di pekarangan Pusat Daerah Mengundi SK Telok Kerang 8.30 pagi tadi.

Dalam pada itu seorang warga emas berusia 89 tahun, Aminah Kasbi juga pengundi Telok Kerang.

Aminah Kasbi, 89 bercakap kepada media selepas selesai membuang undi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P. 165 Tanjung Piai di SK Telok Kerang, Pontian, Johor. foto AFFAN FAUZI, 16 NOVEMBER 2019.

Walaupun uzur, wanita ini tetap komited untuk mengundi dengan  berkerusi roda.

Cucunya, Norhidayah Abdullah, 30, berkata, neneknya tidak pernah terlepas undi pada mana-mana Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Kecil sejak kali pertama mengundi pada usia 21 tahun.

“Nenek pernah ceritakan dia tak pernah gagal mengundi dalam mana-mana pilihan raya sepanjang hidupnya sebab dia begitu seronok setiap kali mengundi.

“Mungkin semangat patrotik dan sedar tanggungjawab sebagai warganegara untuk mengundi,” katanya.-MalaysiaGazette