GELANG PATAH – Pakatan Harapan (PH) kehilangan banyak undi Cina kerana kaum itu sedang beremosi sementara pihak parti gagal melaksanakan kerja publisiti terbaik mengenai dasar kerajaan.
Setiausaha DAP Johor, Tan Hong Pin berkata, isu penahanan peruntukan kerajaan kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman juga telah merebak sehingga memberi tamparan kepada PH.
Isu peruntukan kepada kolej itu yang diasaskan MCA menjadi isu perdebatan antara MCA dan DAP dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mendakwa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak mengotakan janji sebelum pilihan raya umum yang mengatakan PH akan mengekalkan peruntukan kepada Universiti Tunku Abdul Rahman dan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman jika berjaya mengambil alih kerajaan.
Mengulas lanjut, Hong Pin berkata, PH dianggarkan kehilangan 40 hingga 50 peratus undi Cina jika dibandingkan dengan Pilihan Raya Umum 2018, yang mana PH memperoleh sokongan 70 peratus hingga 80 peratus pengundi Cina.
Katanya, penurunan jumlah penyokong PH dalam kalangan perantau yang balik mengundi di Tanjung Piai juga memberi impak.
Menurutnya, walaupun jumlah perantau tidak dapat dikenal pasti secara tepat, tetapi ratusan orang telah dihubungi dengan ramai menyatakan tidak balik mengundi.
“Jentera kami ada menghubungi setiap perantau yang dikenal pasti, maklum balas yang diterima adalah mereka tidak pulang mengundi kerana ia tidak akan memberi kesan kepada keadaan politik negara,” katanya kepada China Press.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda MCA Johor, Ling Tian Soon berkata, kemenangan luar biasa Barisan Nasional (BN) di dua kawasan tumpuan Cina iaitu Permas Kecil dan Bandar Permas adalah amat menggalakkan.
“Kami kalah dengan amat teruk dalam pilihan raya umum, tetapi menang dengan cantik dalam PRK,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Sinchew Daily di Tanjung Piai mendapati, kebanyakan pengundi berpendapat kemenangan Datuk Seri Wee Jack Seng didorong oleh trend mengundi calon dan bukannya parti.
Trend itu membawa kepada kejayaan Jack Seng yang mempunyai rekod perkhidmatan yang baik untuk merampas balik Tanjung Piai.
Seorang pengundi yang diwawancara pula melahirkan rasa kecewa terhadap kerajaan PH yang tidak mengotakan janji, tetapi melakukan reformasi yang tidak relevan dan tidak mustahak seperti menukar kasut sekolah putih kepada hitam. – MalaysiaGazette