KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan akan membentangkan laporan interim mengenai pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya pada tahun hadapan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran berkata, satu kajian saintifik berdasarkan kepada prospektif sains kemasyarakatan mengenai pendangan umum kenatas pengasingan peranan kedua-dua entiti itu telah selesai dilakukan.
“Kajian ini juga merangkumi pengumpulan dan analisis data maklumat daripada pihak berkepentingan melalui pelbagai kaedah seperti perbincangan dengan kumpulan fokus.
“Pada masa ini, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri melalui pasukan petugas khas teknikal dalam peringkat sedang menyediakan laporan interim berdasarkan laporan kajian empirikal daripada pasukan khas kajian komprehentif.
“Tempoh menyediakan laporan interim adalah satu tahun, laporan termasuk syor akan dibentang ke Jemaah Menteri pada tahun 2025,” katanya di Dewan Rakyat.

Kula berkata demikian menjawab soalan kelima Dewan Rakyat daripada Teresa Kok (PH-Seputeh) yang ingin tahu status terkini bagi usaha pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Oktober lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, cadangan pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya tidak dilakukan secara tergesa-gesa.
Sebaliknya, ia akan dilaksanakan dengan teratur sebelum sebarang undang-undang berkaitan dibawa ke Parlimen.
Malah Azalina turut berkata, pelbagai usaha sedang dilakukan untuk melihat sama ada kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya boleh dipisahkan.
Dalam pada itu, Teresa mempersoalkan mengapa kerajaan mengambil masa sehingga dua tahun bagi memperincikan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Menjawab perkara itu, Kula berkata, tidak ada masalah untuk kerajaan meminda Perkara 145 Pelembangaan Persekutuan kerana mempunyai majoriti lebih dua pertiga.
“Tapi kajian empirikal itu perlu dibuat dahulu, mudah dikatakan daripada dilakukan kerana kita perlu ada perbincangan dengan pemegang taruh dan NGO,” jawab Kula lagi. – MalaysiaGazette
















