Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. foto AFFAN FAUZI

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) akan terus ditolak pengundi Cina jika kerajaan masih gagal memberikan harapan kepada mereka.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, trend itu akan terus diperlihatkan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

“(Penolakan undi kaum Cina) Ia juga boleh menjadi trend Pilihan Raya Umum yang akan datang jika PH tidak memberi harapan kepada mereka.

“Mereka (PH) tidak melakukan apa-apa dan mereka tidak menghormati janji-janji itu, jadi saya fikir rakyat hanya menyatakan rasa mereka,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 undi, pada Sabtu lalu calon PH, Karmaine Saidini memperoleh 10,380 undi.

Memetik laporan Sinar Harian Online hari ini, sokongan pengundi Cina dilaporkan jatuh merudum kepada 25 hingga 30 peratus.

Laporan yang memetik sumber itu berkata jentera PH mendakwa mereka akan mendapat sokongan kekal sekurang-kurangnya 60 hingga 65 peratus berbanding lebih 70 peratus diterima pada PRU14. – MalaysiaGazette