Menteri Hal Ehwal Ekonomi merangkap TImbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Azmin Ali bercakap kepada media pada Program Sembang Santai Pakatan Harapan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Kampung Bakar Arang, Pekan Nenas, Johor. foto AFFAN FAUZI, 10 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Kegagalan Pakatan Harapan (PH) dalam mempertahankan kerusi pada Pilihan Raya Kecil Parlimen (PRK) Tanjung Piai tidak wajar dijadikan medan untuk mengkritik dan mencabar kepimpinan dalam gabungan ini.

Tindakan menyerang dan saling menunding jari terhadap kepimpinan PH akan terus melemahkan gabungan parti-parti di dalamnya serta memberi kesan kepada kerajaan dalam mentadbir negara.

Oleh itu, Naib Presiden PH, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggesa semua ahli dan pemimpin PH untuk terus memberi
sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri dan Pengerusi Pakatan Harapan untuk menerajui negara dan gabungannya.

Tegasnya, sekarang adalah masa untuk menyatukan kekuatan dan menghadapi realiti baru ini secara bersama-sama.

Menurut beliau, keputusan PRK Tanjung Piai sepatutnya menjadi cabaran kepada setiap anggota dan pemimpin PH untuk membuktikan bahawa PH boleh terus bekerjasama sebagai satu pasukan.

“Pengajaran daripada kekalahan lebih bermakna daripada kemenangan.

“Kita perlu menunjukkan kepada rakyat bahawa kerajaan tetap komited kepada mandat yang diberikan oleh rakyat dan akan terus berjuang demi kepentingan rakyat, jadi keyakinan mereka terhadap gabungan itu dapat dipulihkan.

“Marilah kita menangani kekalahan ini dengan kerendahan hati dan mengukuhkan lagi pakatan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat mengakui, apa yang difkirkan terbaik oleh kerajaan untuk rakyat, kadangkala tidak semuanya diterima.

“Oleh itu, kita mesti mendengar kehendak rakyat dengan teliti dan bersungguh-sungguh serta menangani perkara yang menjadi kebimbangan dan kesengsaraan mereka.

“Kerajaan mesti segera mengambil tindakan-tindakan sepadan dengan realiti semasa untuk meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat, sama ada di luar bandar, bandar, remaja, wanita atau kumpulan minoriti,” ujarnya.

“Kita mesti meletakkan komunikasi yang berkesan dan logik untuk menangani negatif persepsi terhadap kerajaan dan Pakatan Harapan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette