KUALA LUMPUR – RAM Ratings menjangkakan keseluruhan kadar inflasi negara akan menurun kepada 0.9% pada Oktober ini, disokong oleh sumbangan lebih kecil daripada komponen makanan.

Ini kerana, inflasi makanan dijangka menurun berbanding kesan asas tinggi dari bulan Oktober 2018 ketika ia melonjak kepada 1.2% berbanding 0.5% pada bulan sebelumnya.

Menjelang ke hadapan, trend jangka pendek inflasi dijangka kekal status quo di tengah-tengah lanjutan harga siling bahan api hingga akhir tahun.

Agensi penarafan itu berkata, penurunan berterusan Indeks Harga Pengeluar juga menunjukkan skop yang lebih kecil untuk melepaskan kos kepada pengguna dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Ia berkata, inflasi utama akan datang diunjur 0.7% tahun ini, sebelum naik kepada 1.9% pada tahun 2020.

RAM Ratings berkata, peningkatan dalam inflasi tahun depan akan didorong terutamanya oleh tekanan tambahan daripada subsidi minyak bersasar.

Satu lagi yang menjadi potensi kenaikan harga pada tahun 2020 adalah kenaikan tarif air apabila Mekanisme Penetapan Tarif baru dilaksanakan.

Meskipun butiran masih kurang jelas pada masa ini tetapi Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli memberi unjuran kenaikan kemungkinan antara 7 hingga 70 sen setiap 1,000 liter.

Tetapi ia tidak menjelaskan bila kadar baru akan dikuatkuasakan, katanya.

Ketua penyelidikan RAM Ratings, Kristina Fong berkata, walaupun bekalan air hanya menyumbang sebanyak 0.9% berat dalam bakul Indeks Harga Pengguna, namun sejauh mana ia akan menambah inflasi keseluruhan pada tahun 2020 bergantung kepada besarnya kenaikan tarif sebenar dan tempoh pelaksanaannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast