Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak merangkap Menteri Kerja Raya, Baru Bian bercakap pada sidang media khas berkaitan perkembangan Majis Pimpinan PKR Negeri Sarawak di Sunway Putra Hotel, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 20 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak hari ini tidak berganjak dengan keputusannya untuk membatalkan Konvensyen PKR negeri yang sepatutnya diadakan pada 23 November ini.

Pengerusinya, Baru Bian berkata, kenyataannyapada 15 November lalu bukannya kenyataan peribadi semata-mata, sebaliknya mendapat sokongan majoriti ahli MPN Sarawak.

“Kenyataan ini adalah kenyataan daripada majoriti MPN Sarawak dan bukannya pandangan peribadi Pengerusi MPN Negeri. Pendirian kami tidak akan berganjak.

“Berbeza dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pimpinan nasional, kami ingin menyatakan bahawa keputusan yang dibuat oleh MPN Sarawak untuk membatalkan konvesyen negeri adalah berdasarkan keputusan majoriti.

“Ahli MPN terdiri daripada 42 ahli. Daripada 42 ahli, seramai 32 ahli telah mencapai kata sepakat untuk membatalkan konvesyen tersebut. Ini merupakan majoriti mutlak,” katanya pada sidang media di Hotel Sunway Putra, di sini, hari ini.

BACA: Konvensyen PKR Sarawak tetap diteruskan tanpa Azmin

Pada 15 November lalu, Baru Bian membayangkan Kongres PKR Sarawak yang dijadualkan pada 23 November ini, di Miri terbatal sekiranya isu pembatalan jemputan kepada Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai perasmi dua sayap parti itu tidak diselesaikan.

Kepimpinan PKR Sarawak turut menegaskan jika krisis itu tidak ditangani segera oleh pimpinan tertinggi, ia akan menyebabkan krisis dan perpecahan dalam PKR.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak merangkap Menteri Kerja Raya, Baru Bian bercakap pada sidang media khas berkaitan perkembangan Majis Pimpinan PKR Negeri Sarawak di Sunway Putra Hotel, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 20 NOVEMBER 2019

Dalam pada itu, Baru juga berkata, keputusan untuk membatalkan kongres tahunan itu disokong oleh 19 daripada 32 ahli MPN Sarawak.

“Ahli MPN yang menyokong terdiri daripada 4 Ahli Parlimen, 3 Ahli Dewan Undangan Negeri, 17 Ketua Cabang, 5 Timbalan Ketua Cabang dan 9 pimpinan parti negeri Sarawak.

“Hanya 11 Ketua Cabang dan 2 Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang tidak sependapat dengan pihak majoriti. Seorang mengambil pendirian berkecuali.

“Daripada 11 Ketua Cabang yang menentang pembatalan konvesyen tersebut, 3 orang timbalan ketua menyatakan persetujuan dengan MPN Sarawak,” katanya.

BACA: 20 ketua cabang PKR Sarawak mahu konvensyen diteruskan

Katanya lagi, pendirian itu dibuat bukan berniat untuk mengugut mana-mana pihak sebaliknya kerana terkilan dengan peristiwa yang mengkhianati prinsip keadilan dan demokrasi di dalam parti.

“Di saat pimpinan parti nasional yang memberi penjelasan bahawa pembatalan jemputan untuk merasmikan Konvensyen AMK hanyalah lari daripada tradisi semata-mata.

“Kami ingin mengingatkan semua pihak bahawa 21 daripada 25 pimpinan AMK yang telah dipilih pada Pemilihan Parti 2018 membantah pembatalan jemputan tersebut.

“Kenyataan ini telah dinafikan oleh pimpinan AMK Pusat yang dilantik tanpa mengambil kira pandangan pimpinan AMK Pusat yang telah dipilih,” katanya.

Baru bersama 16 Ketua Cabang PKR Sarawak yang hadir memberi sokongan hari ini sedia dikenakan tindakan disiplin sekiranya terbukti melanggari Perlembagan parti.

“Kami sedia dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti sekiranya apa yang kami lakukan ini menyalahi Perlembagan parti,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya turut kecewa apabila pimpinan parti nasional enggan mengiktiraf perjanjian bersama bahawa Keadilan Sarawak dan Sabah berhak menggunakan otonomi dalam urusan di peringkat negeri.

“Konvensyen Keadilan terletak di bawah bidang kuasa negeri tetapi keputusan yang dibuat oleh ibu pejabat PKR untuk meneruskan konvesyen telah sama sekali mengabaikan kehendak majoriti yang mewakili MPN Sarawak dan sekaligus melanggar perjanjian bersama tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

20 ketua cabang PKR Sarawak mahu konvensyen diteruskan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast