Tan Cheng Hoe

KUALA LUMPUR – Ketua Jurulatih pasukan negara, Tan Cheng Hoe memuji mentaliti pemain Harimau Malaya dalam aksi menentang Indonesia pada perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Cheng Hoe mengakui Malaysia mengalami kesukaran pada 30 minit pertama perlawanan selepas skuad Garuda itu lebih selesa bertahan dan melancarkan serangan balas pantas.

“Bukan senang menentang Indonesia yang menggunakan ramai pemain baharu dalam pasukan mereka.

“Saya lihat mentaliti pemain cukup tinggi apabila kami hilang bola pemain cepat bangkit untuk mengejar dan ia satu sikap serta komitmen yang baik,” katanya pada sidang media malam tadi.

Pemain Malaysia, Corbin Ong (kiri) menanduk bola keluar sambil dikasari pemain Indonesia, Gavin Kwan Adsit (tengah) pada perlawanan Malaysia dan Indonesia sempena kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 19 NOVEMBER 2019

Dua gol yang memastikan tiga mata berharga menjadi milik Malaysia hasil jaringan Safawi Rasid di setiap babak perlawanan.

Gol pertama hadir melalui sepakan percuma pada minit ke-30 disusuli rembatan kencang pada minit ke-73 selepas kesilapan pemain pertahanan pasukan pelawat.

Indonesia kini masih gagal melakar sebarang kemenangan sepanjang kempen ini.

Kemenangan 2-0 tersebut bermakna Malaysia kini mengumpul sembilan mata hasil dua kemenangan, sekali gus berada di tangga kedua Kumpulan G setelah Vietnam dan Thailand terikat tanpa jaringan di Hanoi.

UAE tidak beraksi pada perlawanan malam tadi. – MalaysiaGazette