Pemain Malaysia, Safawi Rasid diasak keras pemain Indonesia, Hendro Siswanto pada perlawanan Malaysia dan Indonesia sempena kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 19 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Polis menahan 41 penyokong, termasuk 14 warga Indonesia untuk pemeriksaan dokumentasi selepas berakhirnya perlawanan aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 yang menyaksikan Malaysia menewaskan Indonesia 2-0, di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, berkata kesemua individu itu kemudian dibebaskan sejurus selesai proses dokumentasi.

“Seramai 27 penyokong Malaysia dan 14 penyokong Indonesia ditahan untuk tujuan dokumentasi.

“Kesemua mereka dibebaskan selepas proses dokumentasi dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, sebahagian penyokong Malaysia cuba membuat provokasi terhadap penyokong Indonesia dengan berkumpul di hadapan Pintu E Stadium Nasional, Bukit Jalil yang dikhaskan untuk penyokong negara jiran itu tidak lama selepas perlawanan di antara kedua-dua tamat.

Ketika itu, masih terdapat sebahagian penyokong Indonesia masih berada di dalam stadium kerana mahu mengelak konfrontasi dengan penyokong Malaysia yang berada di luar.

Anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga termasuk memantau keadaan, khususnya di perkarangan stadium bagi mengelak sebarang insiden kekecohan. – MalaysiaGazette