Najib Razak

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang didakwa begitu ‘sedih’ dan terganggu dengan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat penyelarasan Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 24 Februari 2016.

Malah dakwa saksi ke-5 perbicaraan pindaan Laporan Pengauditan 1MDB, Nor Salwani Muhamad, ‘ketuanya’ Ambrin kelihatan kurang sihat dan ‘fragile’ (rapuh) sehingga memaksa dirinya untuk mengikut beliau ke bilik air.

Salwani yang merupakan Pengarah Audit (Sektor Tadbir Urus) Jabatan Audit Negara (JAN) berkata, beliau menunggu Ambrin di luar bilik mesyuarat pada masa itu kerana hanya beberapa pihak sahaja dibenarkan berada dalam mesyuarat sulit yang bertujuan untuk meminda beberapa perkara dalam laporan audit asal.

Ambrin tampak sedih dan terganggu ketika keluar untuk bilik air bagi mencuci mukanya lalu Salwani yang risau jika apa-apa terjadi kepadanya seperti terjatuh bertindak mengekori beliau.

Gopal Sri Ram: Mengapa kamu ikut beliau sehingga ke bilik air? Bagaimana dengan keadaan dan wajahnya pada masa itu selepas keluar dari bilik mesyuarat ?

Salwani: Saya risau tengok keadaan beliau. Beliau kelihatan begitu ‘fragile’. Kerana takut beliau mungkin akan terjatuh, saya ikut beliau ke bilik air.

Gopal Sri Ram: Ada dia cakap apa-apa kepada kamu ketika itu?

Salwani: Beliau mengomel dan merungut pada masa itu dalam keadaan perlahan. Katanya, ‘apa gunanya audit, itu sahaja yang saya dengar’.

Sebelum itu,  Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Ghari juga bertanyakan tentang keadaan Ambrin kepada Salwani selepas wanita itu membacakan keterangan bertulis di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.

Abdul Akram: Anda ada gambarkan Ambrin tidak berapa senang dalam kenyataan. Apa maksudnya?

Salwani: Sebenarnya apa yang saya nampak beliau nampak sedih dan juga seolah-olah tercabar dengan arahan-arahan diterima olehya.

Saksi merujuk kepada arahan pengguguran tiga dapatan Laporan Pengauditan 1MDB terhadap pasukan audit JAN.

Tiga pengguguran itu membabitkan perjanjian Country Groups Securities Thailand dengan ACME Time Limited; dua versi penyata kewangan 1MDB yang berbeza bagi tahun 2014 dan isu penangguhan penerbitan Nota Terma Jangka Sederhana Islam  (IMTN).

Najib didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya bagi mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Beliau didakwa atas kedudukannya sebagai pegawai awam iaitu perdana menteri, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Arul Kanda yang juga bekas Ketua Eksekutif 1MDB pula didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan itu, bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung Rabu depan. –MalaysiaGazette