Datuk Seri Gopal Sri Ram.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan pindaan Laporan Pengauditan 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) yang masuk hari keempat hari ini digemparkan dengan pendedahan bagaimana rakaman audio yang berdurasi dua jam 45 minit itu dirakam secara rahsia.

Tindakan itu diakui telah dilakukan oleh saksi kelima perbicaraan, Nor Salwani Muhamad yang merupakan Pengarah Audit (Sektor Tadbir Urus) Jabatan Audit Negara (JAN).

Salwani adalah penyelaras pasukan khas JAN yang ditugaskan untuk menjalankan audit ke atas 1MDB dan berkhidmat di bawah Saadatul Nafisah yang merupakan ketua pasukannya.

Malah dedah Salwani, beliau bertindak meletakan perakam audio di dalam kotak pensil ketuanya ketika mesyuarat ‘sulit’ bagi tujuan pindaan laporan audit itu.

Dakwa Salwani, beliau bertindak begitu tanpa pengetahuan sesiapa termasuk Sadatul sendiri dengan alasan perlu mendapatkan minit mesyuarat bagi penyelarasan laporan pengauditan 1MDB tersebut.

Jelas saksi itu lagi, dirinya tergesa-gesa dan tidak sempat untuk memberitahu kepada Sadatul kerana telah diarahkan untuk keluar daripada bilik mesyuarat sulit itu.

Menerusi rakaman, beberapa suara yang dikenalpasti itu hadir dalam Mesyuarat Pelarasan Laporan Pengauditan 1MDB, pada 24 Februari 2016.

“Saya sebenarnya tidak boleh menyertai mesyuarat itu kerana dilantik sebagai koordinator penyediaan laporan audit 1MDB. Oleh yang demikian, saya perlu tahu apa yang berlaku dalam mesyuarat itu.

“Oleh yang demikian, saya letak perakam suara itu dalam kotak pensil Sadatul sebelum mesyuarat bermula dan saya telah keluar. Sadatul juga tidak tahu tentang adanya perakam yang saya letak dalam bekas tersebut.

“Selepas habis mesyuarat, saya ambil perakam itu, pulang ke JAN dan di pejabat, pasukan kami duduk dengar balik rakaman suara tersebut,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Dakwa Salwani, pasukan beliau sebenarnya terkejut dengan arahan pindaan laporan audit itu terutama beberapa bahagian yang perlu digugurkan.

“Ada arahan untuk supaya beberapa laporan digugurkan malah minta untuk melupuskan laporan asal audit. Kami sememangnya terkejut.

“Saya kemudian bertindak memindahkan rakaman yang di buat itu ke dalam hard disc dan thumb drive sebelum disimpan di pejabat dalam sebuah almari peti besi berpalang serta berkunci,” dakwanya.

Salwani juga akui rakaman asal dari perakam itu dipadamkan atas alasan bagi mengelakan sebarang ‘kebocoran maklumat’.

Saksi juga ketika disoal Gopal Sri Ram mengakui sepanjang karier beliau selama lebih 22 tahun, ia merupakan kali pertama melalui situasi seumpama itu di mana mendapat arahan pindaan melalui rakaman tersebut.

Antara individu yang dikenalpasti dalam rakaman suara itu termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Ali Hamsa yang juga merupakan saksi keempat perbicaraan.

Selain itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Dr Mohd Isa Hussain; bekas Ketua Setiausaha Sulit Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Syukry Mohd Salleh dan bekas Ketua Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kansamy serta wakil JAN, Sadatul.

Menurut keterangan bertulis Ali Hamsa, mesyuarat yang telah dipengerusikan olehnya diadakan pada 24 Februari 2016 atas arahan Najib.

Dakwa Ali Hamsa, mesyuarat itu diadakan untuk menghapuskan empat isu daripada laporan audit berkenaan seperti dikehendaki Najib.- MalaysiaGazette