Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hadir bersama Menteri Belia Dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Majlis Perasmian Konvensyen Alumni Malaysia Future Leaders School (MFLS) di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor. foto IQBAL BASRI, 22 NOVEMBER 2019

BANGI – Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Malaysia masih memerlukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dalam usaha mengekalkan keharmonian negara ini.

Perdana Menteri berkata, akta keselamatan doktorian itu diperlukan bagi membantu menahan individu yang menggugat keselamatan negara.

“Banyak isu keselamatan yang terlibat berkaitan SOSMA dan bukan sahaja aktiviti keselamatan seperti kes kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) tetapi juga Islamic State (IS),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian Konvensyen Alumni Malaysia Future Leaders School (MFLS) anjuran Kementerian Belia dan Sukan di Universiti Kebangsaan Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Semalam lebih 80 orang ahli keluarga tahanan SOSMA berhimpun di luar Parlimen dan kemudiannya menyerahkan memorandum mendesak kerajaan memansuhkan akta berkenaan yang disifatkan menindas hak asasi manusia.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo yang hadir bersama kumpulan itu berjanji akan membangkitkan desakan mereka dalam mesyuarat Kabinet hari ini supaya tindakan segera dapat diambil.

Awal bulan ini, Mahathir berkata, Kerajaan akan meminda undang-undang keselamatan drakonian termasuk SOSMA dalam tempoh terdekat ini.

Beliau berkata, pindaan undang-undang itu akan dibentang di Parlimen pada sesi yang sedang berlangsung ketika ini.

Jelas beliau, sekiranya tidak sempat, pindaan itu akan dibawa ke Parlimen pada sesi Mac tahun depan. – MalaysiaGazette