KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa mencabuli janji manifesto apabila mengesahkan Pakatan Harapan (PH) boleh melaksanakan pemberian tender secara terbuka atau rundingan terus.
Kenyataan Presiden PH itu, kata Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki telah melanggar Janji ke-23, kononnya “kami akan memastikan sistem tender terbuka digunakan secara meluas dan telus, terutamanya untuk projek-projek besar”.
Ketua Pemuda UMNO itu berkata, sewaktu menjadi pembangkang, janji ke-23 diratibkan bahawa amalan tender terbuka yang terbaik dan tidak menyeleweng.
“Hari ini sudah berkuasa semuanya dilupakan. Apa lagi alasan nak diberikan?
“Janji untuk amalkan tender terbuka ini hakikatnya tidak ada implikasi kewangan! Atau masih nak bersandiwara untuk menggunakan alasan tak dapat laksana janji ini kerana hutang negara RM1 trilion juga?,” soalnya.
Isu tender terbuka ini tercetus selepas Kementerian Pertanian dan Asas Tani didakwa membatalkan tiga kontrak bernilai RM1.4 bilion kerana menganugerahkan projek itu kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) secara rundingan terus.
Semalam, Dr Mahathir berkata, kerajaan masih mengamalkan rundingan terbuka dan terus dalam menganugerahkan kontrak.
Bagaimanapun, jelas beliau, pelaksanaan itu termaktub dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan. – MalaysiaGazette