Datuk Che Abdullah Mat Nawi memegang plak khas ketika morning menyempurnakan Majlis Pra-Pelancaran OGOShop sambil ditemani tetamu kenamaan lain di Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU – Platform perdagangan usahawan muslim yang berkonsepkan e-dagang serta rangkaian peruncitan, OGOShop.my akan dilancarkan di seluruh negara bermula 1 Januari depan.

Platform menggabungkan dua medium tersebut dibangunkan oleh SGi Global Ventures (SGi Global Ventures) Sdn. Bhd., sebuah syarikat milik penuh bumiputera dan merupakan yang pertama seumpamanya di negara ini.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif SGi Global Ventures, Norfasham Matsugi berkata, dalam tempoh dua tahun pertama pelancaran OGOShop.my, pihaknya menyasarkan penyertaan 100,000 usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan.

“OGOShop adalah sebuah gedung yang membantu memasarkan produk halal keluaran usahawan IKS secara digital dan secara rangkaian kedai runcit di seluruh negara dengan sistematik.

“Aplikasi ini dijadual beroperasi pada 1 Januari 2020 dan bermula tarikh itu, segala pembelian produk atau perkhidmatan menerusi OGOShop boleh diakses pelanggan dari seluruh dunia,” katanya dalam sidang akhbar selepas Pra-pelancaran Ogoshop di sini semalam.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang mewakili Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Yang turut hadir, Penasihat Diraja OGOShop.My, Datuk Tunku Iskandar Dzulkarnain Tunku Ismail dan Presiden Persatuan Pengguna lslam Kelantan (PPIK), Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani.

Mengulas lanjut, Norfasham berkata, bagi melengkapkan nilai rantaian pemasaran, produk yang tidak sesuai dihantar secara pos seperti beras dan gula akan dijual melalui rangkaian kedai runcit OGOMart yang wakilnya akan dilantik secara berperingkat.

“OGOShop turut menggariskan polisi yang diadaptasi daripada prinsip perkongsian rezeki sebagaimana terdapat dalam mekanisme hibah atau lebih dikenali dengan nama ‘cash back’.

“Setiap keuntungan diperoleh terutama transaksi daripada pembekal akan disalurkan semula kepada semua pihak sama ada pengguna, komuniti usahawan, serta stokis
rangkaian peruncitan OGOMart,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Fared berkata, kehadiran OGOShop.my tepat pada masanya memandangkan terdapat platform e-dagang popular hari ini kononnya memasarkan produk untuk Muslim, tetapi tidak menepati aspek halalan toyyiban yang betul.

“Mengikut ‘State of The Global Islamic Economy Report 2018/2019 oleh Thompson Reuters, industri makanan halal pada 2017 mencecah USD1,303 bilion dan dijangka berkembang 6.1 peratus iaitu USD1,863 bilion pada 2023.

“Peluang ini disedari para peniaga di seluruh dunia dan tidak hairanlah ada platform e-dagang menyusun strategi mengeluarkan produk untuk Muslim. Namun, mereka ini tidak mempunyai ‘roh Islam’ menyebabkan terdapat banyak produk dikeluarkan tersebut tidak mengikut syariat Islam sebenar,” katanya.

Che Abdullah pula berkata, OGOShop merupakan inisiatif murni bagi memperkasa ekonomi umat Islam dan rakyat Kelantan berbangga apabila negeri ini dipilih sebagai lokasi terawal pelancaran, sekali gus menjadi perintis kepada penggunaan platform perdagangan terbaharu itu.- MalaysiaGazette