Hasbullah Osman

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan bercakap benar tentang intipati pertemuan antara sekumpulan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, minggu lalu.

Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman berkata, mungkin ada percaturan politik telah direncanakan oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berhubung pertemuan sulit yang dikatakan dirancang Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu.

“Siapa yang cakap betul, siapa yang cakap salah. Inilah politik dia takkan cakap yang betul.

“Mungkin Tun ada perkiraan yang kita tidak tahu apa, dia cakap A, tapi maksud tersirat adalah B. Kita tidak faham apa yang dia cakap,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Dalam pada itu, menurut Hasbullah, Azmin ada menasihatkan mereka agar tidak bertindak melompat parti.

“Saya masih ingat Azmin kata jangan sesekali lompat parti, kalau nak nafikan, tanyalah Azmin,” katanya.

Hasbullah antara 17 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang bertemu Azmin pada malam Isnin lalu di kediaman rasmi Azmin.

BACA: Azmin kata ada pemimpin UMNO hilang parti – Tun M

BACA: Ahli Parlimen BN perjelas tujuan pertemuan dengan Azmin

BACA: Kami ajak Azmin masuk UMNO, bukan hilang parti, kata 7 MP BN

Jumaat lalu, Dr Mahathir berkata, beliau telah dimaklumkan oleh Azmin bahawa ada antara ahli-ahli Parlimen yang terlibat dalam pertemuan itu mendakwa mereka sudah hilang parti.

Beliau berkata perkara itu dimaklumkan Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika ditanya mengenai pertemuan yang mencetuskan pelbagai kontroversi itu.

Azmin pula berkata, pertemuan itu hanya mesyuarat biasa dan beliau mengambil sikap terbuka dalam pertemuan berkenaan.

Semalam, dalam satu kenyataan bersama, tujuh Ahli Parlimen itu berkata menjemput Azmin untuk menyertai UMNO kerana yakin rakyat kini dilihat lebih mempercayai gabungan tersebut.

Kenyataan itu dikeluarkan Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said; Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Sharif; Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias; Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor; Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad; dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid. -MalaysiaGazette