Kuala LUMPUR – Beberapa Ahli Parlimen UMNO menafikan dakwaan bahawa pemimpin UMNO sudah hilang parti dan tidak tahu apa yang hendak buat, samada masuk parti lain atau tidak.

Malah mereka menyatakan tidak akan keluar UMNO, apatah lagi lompat parti.

Mereka berkata, tidak pernah sekalipun Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mempunyai pendirian sedemikian semasa pertemuan dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di kediaman beliau di Putrajaya baru-baru ini.

“Malah, merujuk kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa di laman Twitternya, beliau turut akui dakwaan tersebut merupakan satu fitnah.

“Malah, beliau turut zahirkan keyakinan bahawa kesemua Ahli Parlimen BN yang hadir pertemuan tersebut merupakan ahli yang setia, kata tujuh Ahli Parlimen UMNO dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan malam ini.

Mereka ialah Datuk Seri Ismail Mohamed Said (Kuala Krau), Datuk Salim Sharif (Jempol), Datuk Jalaluddin Alias (Jelebu) Ramli Datuk Mohd Nor (Cameron Highlands), Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang), Datuk Abdul Rahman Mohamad (Lipis) dan Datin Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar).

Pada sidang media di Bangi petang tadi, Tun Dr Mahathir Mohamad telah dimaklumkan bahawa ada pemimpin UMNO yang bertemu Azmin baru-baru ini telah hilang parti dan tidak tahu sama ada mahu menyertai parti lain atau tidak.

Perdana Menteri berkata, pemimpin Barisan Nasional (BN) seramai 17 orang itu turut memberitahu Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu mereka tidak tahu untuk membuat apa-apa, sama ada menyertai parti lain atau pun sebaliknya.

Malah jelas Dr Mahathir, ada kenyataan dari pemimpin itu yang menyokong kepimpinannya.

Menurut Ahli Parlimen itu, apa yang dibincangkan malam itu hanyalah perkara berhubung kait usaha pembangunan di kawasan Parlimen masing-masing, termasuk pembinaan infrastruktur untuk kegunaan orang ramai seperti masjid, surau dan balai raya.

Selain itu, katanya, dengan kemenangan besar BN di Tanjung Piai, mereka turut mengajak Azmin untuk masuk UMNO kerana terbukti ketika ini rakyat lebih percayakan UMNO dan BN. – MalaysiaGazette

Azmin kata ada pemimpin UMNO hilang parti – Tun M