KUALA LUMPUR– Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman, menerima pengiktirafan Professional Engineer of the Year (International) Award 2026 daripada Engineers Australia, satu-satunya penerima antarabangsa dari seluruh dunia yang menerima anugerah ini, sekali gus memperkukuh kedudukan beliau sebagai antara tokoh kejuruteraan Malaysia yang mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Pengiktirafan oleh Engineers Australia itu mencerminkan sumbangan dan kepimpinan beliau dalam bidang kejuruteraan, khususnya kejuruteraan mekanikal, biokejuruteraan dan biomekanik, selain rekod beliau dalam penyelidikan, inovasi dan pembangunan teknologi yang memberi impak kepada masyarakat.
Dr. Noor Azuan merupakan Fellow of Engineers Australia (FIEAust), Chartered Professional Engineer (CPEng), dan Fellow of Mechanical Enginner UK (FIMechE), dan Chartered Engineer UK (CEng) dan juga merupakan Fellow of Academy of Science Malaysia. Beliau turut mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang prostetik, ortotik, implan ortopedik, kejuruteraan rehabilitasi serta analisis pergerakan manusia.
Mengulas mengenai pengiktirafan tersebut, beliau berkata, anugerah berkenaan membawa makna yang lebih besar daripada pencapaian individu, sebaliknya mencerminkan peranan kejuruteraan dalam menyelesaikan permasalahan sebenar dan meningkatkan kehidupan manusia.
“Sepanjang kerjaya saya, saya sentiasa percaya bahawa ukuran sebenar kejuruteraan bukan sekadar pada apa yang kita bina, tetapi sejauh mana kita mampu meningkatkan kehidupan manusia, menyelesaikan permasalahan dan mencipta masa depan yang lebih baik.
“Saya mendedikasikan penghargaan ini kepada Universiti Malaya dan Malaysia, serta para jurutera di seluruh dunia yang terus mencetuskan idea, keberanian dan inovasi dalam membawa perubahan kepada kehidupan dan masyarakat.
“Ketika dunia berdepan cabaran yang semakin kompleks, bidang kejuruteraan perlu terus menerajui inovasi dan membentuk masa depan yang lebih baik, berteraskan tujuan, keberanian dan nilai kemanusiaan. Kita bukan sekadar mencipta teknologi untuk masa hadapan, tetapi membina masa hadapan yang lebih baik untuk didiami,” tambahnya lagi.
Pengiktirafan antarabangsa ini turut membawa makna kepada UM dalam memperkukuh keterlihatan universiti di peringkat global, khususnya melalui kepimpinan akademik yang mempunyai kredibiliti dalam penyelidikan, inovasi dan jaringan profesional antarabangsa.
Sepanjang kerjaya akademiknya, Dr. Noor Azuan telah membangunkan kepakaran dalam bidang biomekanik dan biokejuruteraan dengan penyelidikan yang diterjemahkan kepada teknologi serta aplikasi klinikal.
Sebagai Naib Canselor, pengalaman tersebut turut mendukung aspirasi UM untuk memperkukuh kecemerlangan akademik dan penyelidikan, memperluas impak ilmu kepada masyarakat serta meningkatkan jaringan dan keterlihatan Universiti di peringkat antarabangsa.
International Professional Engineer of the Year merupakan salah satu pengiktirafan utama di bawah Engineers Australia Excellence Awards 2026, anugerah berprestij yang mengiktiraf jurutera yang mempamerkan kecemerlangan profesional, kepimpinan, inovasi serta impak nyata melalui bidang kejuruteraan.
Bagi kategori antarabangsa tahun 2026, Dr. Noor Azuan Abu Osman yang diumumkan sebagai pemenang Professional Engineer of the Year – International, yang merupakan calon tunggal yang dipilih di seluruh dunia. – MalaysiaGazette
















