Kasim Abdul Samad bapa kepada Allahyarham Muhammadi Adib.

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 12 Dis bagi mendengar permohonan rayuan Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas berhubung prosiding komital yang difailkan bapa anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim terhadapnya pada 16 Julai lepas.

Hakim Datuk Meor Hashimi Abd Hamid turut memerintahkan pihak terlibat mengemukakan hujahan masing-masing sebelum 9 Dis ini.

Sebelum ini, Tommy telah melantik dua peguam swasta untuk mewakili beliau dalam rayuan terbabit iaitu Zainur Zakaria dan Datuk S. Ambiga selain Peguam Kanan Persekutuan, S. Narkunavathy serta Markiranjit Kaur.

Pada 27 Ogos lepas, Koroner Rofiah Mohamad membuat keputusan membenarkan prosiding komital itu didengar di Mahkamah Koroner di sini sebelum Peguam Negara memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan tersebut, dua hari kemudian.

Sementara itu, Zainur ketika ditemui pemberita kemudiannya berkata, mahkamah hari ini menolak permohonan Mohd Kassim Abdul Hamid untuk membatalkan rayuan Tommy terhadap keputusan Mahkamah Koroner tersebut.

“Mahkamah memutuskan untuk menolak permohonan itu dengan asas bahawa keputusan Mahkamah Koroner boleh dirayu dan keputusan pendengaran itu nanti akan menentukan sama ada prosiding menghina mahkamah terhadap Tommy akan diteruskan atau tidak.

“Jika rayuan dibenarkan, jadi tiada pendengaran untuk permohonan komital berkenaan,” katanya.

Pada 16 Julai lepas, Mohd Kassim, 65, memfailkan permohonan perintah komital terhadap Tommy kerana menghina mahkamah berkaitan prosiding inkues bagi mencari punca kematian anaknya.

Permohonan sebelah pihak (ex-parte) itu dibuat melalui Tetuan Mohd Zubir Embong & Associate di Pejabat Pendaftar Mahkamah Koroner.

— BERNAMA