Khairul Azam
Mohd Khairul Azam Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Pihak yang menghina lambang negara akan menjadikan permohonan maaf mereka sebagai tiket untuk terus mengulangi perkara sama pada masa akan datang.

Ini sering berlaku walaupun kejadian itu tidak dilakukan pihak yang sama, tetapi modus operasi mereka ialah berterusan menghina negara.

Sehubungan itu, Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mahu kerajaan bertindak tegas dengan melucutkan taraf kewarganegaraan mereka yang melakukan penghinaan terhadap lambang negara.

Kata beliau, taraf kewarganegaraan yang diberikan kepada kaum pendatang menurut Perkara 17 Perlembagaan adalah pemberian bersyarat iaitu hendaklah melucutkan kesetiaan mereka terhadap negara asal dan menumpahkan taat setia kepada negara baru yang menerimanya sebagai warganegara.

“Saya merujuk kepada Perkara 25(1) Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kuasa kepada Kerajaan Persekutuan untuk melucutkan taraf kewarganegaraan mana-mana rakyat Malaysia yang melalui perbuatan atau percakapannya menunjukkan tidak taat atau tidak setia kepada Persekutuan.

“Pada tahun 1961, pengasas Dong Zhong yang bernama Lim Lian Geok telah dilucutkan kewarganegaraan kerana tindakan dan ucapan beliau ketika itu telah dianggap tidak setia kepada Persekutuan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau merujuk kejadian yang tular di media sosial berhubung tindakan konsultan majlis perasmian Kejohanan Bola Keranjang memaparkan Jalur Gemilang berlambangkan bintang lima bucu.

Paparan itu menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia, yang mendesak Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) bertanggungjawab penuh atas kekhilafan itu.

MABA kemudian mengeluarkan kenyataan memohon maaf dan berjanji perkara itu tidak akan berulang lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya telah memanggil Presiden MABA, Datuk Lua Choon Hann untuk diambil keterangan berikutan pemaparan bendera kebangsaan yang mempunyai bintang pecah lima itu.

Menurut Mohd Khairul Azam, sungguhpun pihak terbabit telah memohon maaf, tetapi kerana kerap kali kesalahan sama dilakukan, seolah permohonan maaf itu tiada nilai.

“Kita mendesak Kerajaan Persekutuan untuk merujuk kes duluan Lim Lian Geok ini untuk mempertimbangkan prosiding melucutkan kewarganegaraan kepimpinan Persatuan MABA sebagai pengajaran kepada sikap rasis mereka yang tidak menunjukkan ketaatan dan kesetiaan kepada Persekutuan.

“Kerajaan telah melakukan tindakan ini sekali dan tidak menjadi sesuatu yang pelik jika kerajaan mengambil tindakan tegas sekali lagi.

“Jika mereka melanggar syarat tersebut, pengkhianatan mereka terhadap Malaysia hendaklah dihukum dengan menarik balik kewarganegaraan yang pernah diberikan dahulu,” tegasnya. – MalaysiaGazette