Tan Sri Ambrin Buang

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang mendedahkan beliau sangat kecewa apabila mendapat arahan melakukan pindaan terhadap laporan akhir audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ambrin yang merupakan saksi ke-6 perbicaraan mendakwa kecewa selepas menghadiri mesyuarat penyelarasan Laporan Pengauditan1MDB yang diadakan pada 24 Februari 2016.

Mesyuarat tersebut yang didakwa dipanggil atas arahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak oleh bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa.

Ia turut dihadiri Tan Sri Syukry Salleh, pegawai Jabatan Audit Negara, Saadatul Nafisah serta bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Ambrin berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram sebentar tadi.

Kata Ambrin, sememangnya beliau tidak menyangka menerima arahan melakukan pindaan laporan audit walhal beliau telah memberikan masa yang cukup panjang kepada pengurusan 1MDB menyediakan maklumat dikehendaki oleh pihaknya.

Gopal Sri Ram: Apa perasaan anda selepas hadir mesyuarat penyelarasan itu?

Ambrin: Saya kecewa sebenarnya. Sangat kecewa.

Gopal Sri Ram: Mengapa begitu?

Ambrin: Banyak sangat sebab, apa perasaan jika anda berada dalam satu bilik mesyuarat di mana kesemua mereka menyoal tentang laporan audit kami? Sedangkan laporan itu telah kami muktamad dengan fakta.

Kami juga mempunyai bukti untuk mempertahankan laporan audit itu, pastinya dengan keadaan dalam bilik mesyuarat itu, anda tidak akan gembira. Itulah yang saya rasa.

Kami telah menghabiskan masa begitu lama sebenarnya dalam menyediakan laporan audit akhir 1MDB. Kami juga telah berikan masa lama kepada 1MDB tetapi mereka tidak pula berikan kami maklumat dikehendaki. Kami telah beri masa kepada mereka beri maklumbalas juga.

Gopal Sri Ram: Jadi, prosesnya telah selesai?

Ambrin: Kami sebenarnya sangat bermurah hati kerana memberikan tempoh yang cukup lama kepada mereka.

Gopal Sri Ram: Adakah ini punca kamu kecewa?

Ambrin: Sebenarnya saya lebih kecewa kerana orang tidak faham dengan peranan kami dalam Jabatan Audit Negara. Apa yang kami di sana adalah berdasarkan fakta juga disokong dengan dokumen lengkap.

Jadi mana mungkin kami sekadar masukan fakta tanpa mendapatkan maklumat terlebih dahulu. Ini termasuk ketika dalam mesyuarat dalam rakaman itu di mana ada beberapa kes yang disebut sebenarnya berdasarkan fakta di kumpul oleh pihak kami. Itu sahaja.

Gopal Sri Ram: Adakah ini bermakna anda mempertahankan fakta-fakta itu?

Ambrin: Kami pertahan fakta-fakta itu, daripada fakta itu kami beri pandangan. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pandagan kami tetapi anda perlu beri kelonggaran kepada Ketua Audit untuk memberikan pendapatnya berdasarkan fakta.

Terdahulu, Ambrin menjelaskan mengenai pindaan-pindaan yang dibuat dalam laporan pengauditan 1MDB termasuk mengenai dua versi penyata kewangan 1MBD yang berbeza, isu penangguhan terbitan Nota Kewangan Islam Jangka Sederhana (IMTN), ACME, dan isu kehadiran Low Taek Jhow atau lebih dikenali Jho Low.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Ini bertujuan untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib berhubung kesalahan sama.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan akan bersambung pada 13 Januari tahun hadapan. – MalaysiaGazette