KUALA LUMPUR – Kenanga Investors Berhad (KIB), cabang pengurusan aset Kenanga Investment Bank Berhad telah selesai mengambil alih sepenuhnya, Libra Invest Berhad (LIB) pada 29 November lalu selepas KIB memperoleh kelulusan Mahkamah Tinggi Malaya untuk memindahkan aset, liabiliti dan aku janji milik LIB.

Berikutan itu, KIB akan mengambil alih peranan sebagai pengurus pelaburan bagi dana-dana yang akan diletakkan di bawah portfolio KIB.

Sebanyak 12 dana runcit dan empat dana borong LIB telah diserahkan kepada KIB pada penghujung hari perniagaan bertarikh 29 November 2019.

Pada Julai lalu, KIB melengkapkan pengambilalihan 100% pegangan ekuiti dalam LIB menurut perjanjian pembelian saham bersyarat yang telah dimeterai dengan syarikat pemegangan, ECM Libra Financial Group Berhad milik LIB ketika itu.

“Kami telah menyempurnakan langkah konsolidasi ini dan menyaksikan proses peralihan yang lancar melibatkan aspek-aspek penting seperti perkhidmatan pelanggan, operasi serta migrasi sistem setakat hari ini,” kata Ismitz Matthew De Alwis, Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif KIB.

Rentetan itu, aset di bawah pengurusan (AUM) milik KIB mencatat peningkatan berjumlah kira-kira RM13.2bil, termasuk AUM milik subsidiarinya, Kenanga Islamic Investors Berhad (KIIB).

“Ia merupakan salah satu daripada langkah penyatuan dan pengambilalihan (M&A yang lebih signifikan dibuat sejak sekian lama dalam industri ini yang telah menunjukkan tanda-tanda kelembapan dan berlatarbelakangkan landskap
makroekonomi yang lebih mencabar,” jelas De Alwis.

LIB juga terkenal dengan kekuatannya dalam kelas pendapatan tetap ekoran daripada penggunaan strategi pengurusan portfolionya yang aktif, berbanding pendekatan beli dan pegang (buy-and-hold), manakala KIB pula secara konsistennya dikenali atas kepakarannya dalam bidang ekuiti.

Dengan konsolidasi tersebut, KIB dapat memanfaatkan serta mentransformasikan sumber-sumber yang telah diperoleh ini kepada sebuah rangkaian menyeluruh yang diperluaskan, meliputi penawaran produk, barisan perniagaan baharu, keberkesanan kos dan kekuatan pengedaran yang dipertingkatkan. – MalaysiaGazette