BEBERAPA tahun sebelum kematian Chin Peng, terus terang saya pernah menemui pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) itu.
Ia adalah antara misi paling mendebarkan dalam karier saya sebagai wartawan jenayah.
Tujuan saya menemuinya hanya satu, untuk mendapatkan reaksinya apabila hajatnya untuk kembali ke Malaysia mendapat tentangan hebat daripada masyarakat kita ketika itu.
Sebenarnya misi ini bukan mudah, ini kerana saya ketika itu langsung tidak tahu di mana dia tinggal, siapa pegawai-pegawainya dan sejauh mana mana tahap keselamatan saya terjamin jika bertemu pemimpin komunis itu.
Peluang keemasan bertemu dengannya muncul apabila saya mendapat maklumat bahawa Chin Peng akan hadir dalam satu majlis memperingati perjanjian damai yang mereka tandatangani dengan kerajaan Malaysia pada tahun 1989 dulu di Hatyai, Thailand.
Tempatnya adalah di Hotel Lee Garden, tempat yang sama sewaktu perjanjian tersebut dimeterai.
Saya masih ingat, bersama-sama seorang rakan baik saya, kami berdua menaiki bas ekspres dari Puduraya menjelang tengah malam dan terus turun di bandar Hatyai kira-kira pukul 8 pagi berikutnya.
Walaupun pada mulanya kami berdua merancang untuk menginap di hotel yang dimaksudkan, namun ia terpaksa ditukar ke saat akhir apabila tiada kekosongan bilik ketika itu.
Dipendekkan cerita, menjelang petang, kami berdua telah tercegat di Hotel Lee Garden itu.
Alangkah terkejutnya kami sebaik saja sampai di situ kerana jumlah mereka yang hadir lebih 500 orang hingga menyebabkan lobi hotel tersebut padat, panas dan hingar!
Yang paling mengejutkan, rupa-rupanya hampir kesemua mereka yang datang adalah dari Malaysia dan mereka adalah bekas pengganas komunis yang telah menyerah diri.
Kira-kira setengah jam menanti dengan penuh debar, kelibat Chin Peng mula kelihatan.
Nampak saja kelihat pemimpin mereka, ratusan bekas anggota komunis tadi bersorak sambil bertepuk tangan…ibarat peminat yang terserempak dengan artis pujaan mereka!
Keadaan menjadi riuh rendah apabila semua yang hadir berebut-rebut untuk bersalaman dengan tokoh idola mereka itu.
Ketika inilah saya mengambil kesempatan untuk merapati Chin Peng dan memperkenalkan diri saya padanya.
Chin Peng kelihatan sedikit tergamam ketika itu. Dia seakan-akan tidak percaya saya seorang wartawan.
“Betulkah awak wartawan…kalau polis mengaku saja,” kata Chin Peng pada saya. Saya terkejut kerana dia rupanya fasih berbahasa Melayu dan tidak pelat langsung ketika bertutur walaupun dah berpuluh tahun melarikan diri ke luar negara.
Saya kemudiannya mengeluarkan kad perakuan media saya yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan. Ketika ini dia sedikit tersenyum tetapi ketika saya mempelawanya untuk minum di kafe hotel tersebut supaya kami boleh berbual panjang – dia menolak.
Dipendekkan cerita saya hanya sempat bertanya dua soalan kepadanya sebelum pengiring-pengiringnya membawa terus bos mereka itu beredar dari situ.
Soalan pertama, apa perasaan anda bila tidak dibenarkan pulang ke Malaysia? Dia berkata kenapa tidak boleh, dia lahir di Malaysia dan dia nak sangat ziarah kubur ibu serta bapanya.
Soalan kedua, kenapa anda begitu kejam hingga membunuh ramai anggota polis dan tentera kami? Jawapan Chin Peng sangat mudah: “Encik, dalam peperangan, kalau kita tidak membunuh, kita akan dibunuh!”
Habis cerita itu. Walaupun hanya sempat bertanya dua soalan namun saya bersyukur kerana dapat melangsaikan juga tugasan saya walaupun tak banyak yang boleh dicoretkan dalam pertemuan tersebut.
Baik, bila balik ke Kuala Lumpur, saya dihujani pertanyaan daripada rakan-rakan yang mahu saya kongsikan cerita mengenai pengalaman bertemu ketua komunis itu.
Saya ingat lagi…jawapan saya pada mereka adalah Chin Peng adalah seorang yang kemas, segak dan bergaya!
Serius, ketika bertemu dengan Chin Peng, tak ada langsung ciri-ciri ‘jahat’ yang ada padanya, sekali imbas dia ibarat seorang pegawai tinggi kerajaan yang baru pencen!
Kulitnya putih bersih, dia memakai kemeja lengan panjang yang dikacing lengannya, seluar ‘slack’ gelap dan sepatu kulit hitam. Persis seorang ahli perniagaan yang berjaya pun ada juga.
Rupa-rupanya selepas itu baru saya tahu, di saat anak-anak buahnya berjuang bermati-matian di dalam belantara, sebenarnya Chin Peng telah pun meninggalkan ‘perjuangan hutan’ sejak berpuluh tahun lamanya.
Begini kisahnya.
Pada pertengahan tahun 1961, Chin Peng telah melarikan diri dari Tanah Melayu untuk ke China.
Dia bertolak dari sempadan Thai-Malaysia dengan menaiki kereta menuju ke Bangkok. Di Bangkok dia tinggal selama dua malam sebelum meneruskan perjalanan ke utara Thailand hingga sampai ke Mekong. Perjalanan tersebut adalah secara rahsia.
Dari Sungai Mekong, dia menaiki perahu menyeberangi sungai hingga ke Laos. Semasa di Laos itu, kerajaan Vietnam sudah diberitahu tentang kedatangan Chin Peng
itu.
Kerajaan Vietnam, kemudian menghantar sebuah helikopter untuk mengambil Chin Peng. Dari Laos ke Vietnam, Chin Peng menaiki helikopter. Di Hanoi dia tinggal selama satu minggu.
Kemudian kerajaan China telah menghantar sebuah kapal terbang khas untuk mengambilnya dari Hanoi. Pada hari ketibaannya itu, seorang telah menunggunya di Lapangan Terbang Peking.
Rupa-rupanya ketika di negara tembok besar itu, Parti Komunis China sudah menyediakan sebuah banglo mewah di Kompleks International Liasion Department (ILD) sebagai tempat kediamannya.
Banglo itu dua tingkat. Tingkat atas terdapat empat bilik, tingkat bawah dua bilik, termasuk dua bilik makan yang luas.
Di banglo tersebut, Chin Peng diberikan dua orang setiausaha. Seorang setiausaha peribadi dan seorang lagi setiausaha penerbitan yang mengendalikan urusan penerbitan seperti dokumen-dokumen dan risalah-risalah.
Pihak China juga memberi seorang tukang masak, pelayan, pemandu, pengawal peribadi (bodyguard) dan sebuah kereta yang dipanggil Red Flag.
Bermula dari saat itu, segala aktiviti yang rnelibatkan PKM berpusat di rumah itu. Segala mesyuarat Jawatankuasa Pusat diadakan di situ.
Segala pemilihan delegasi untuk menghadiri mesyuarat-mesyuarat atau persidangan-persidangan komunis antarabangsa pun bermula dari rumah itulah.
Cara mereka membuat hubungan ada tiga macam, iaitu pertama melalui pengiriman: surat secara terbuka.
Di Peking, terdapat satu alamat di mana ejen-ejen ini boleh mengirimkan suratnya. Alamat tersebut tidak diketahui oleh sesiapa kecuali orang-orang tertentu. Pengiriman tersebut cuma menggunakan nombor kod sahaja. Bila surat tersebut sampai, ia dibaca melalui kod-kodnya.
Cara kedua ialah surat rahsia yang dibawa sendiri oleh orang berkenaan atau wakil-wakilnya.
Manakala cara ketiga ialah orang itu sendiri yang datang, sama ada dari Singapura, Indonesia atau London. Mereka datang jumpa Chin Peng dan bercakap sendiri masalah mereka.
Setiap laporan yang disampaikan kepada Chin Peng itu diteliti, dan Chin Peng nanti akan mengeluarkan arahan secara kasar, tentang tindakan yang patut dibuat atau diambil oleh
anak-anak buahnya di tempat masing-masing.
Pendek kata, di saat anak-anak buahnya setengah mati berjuang di hutan, Chin Peng pula hanya ‘bermain catur’ dari banglo mewahnya di China!
Selepas perjanjian damai ditandatangani, Chin Peng menetap pula di Thailand sehinggalah pada hari kematiannya.
Kesemua rahsia ini didedahkan oleh Musa Ahmad, bekas pengerusi PKM dalam buku bertajuk Baling Membuka Jalan Damai yang ditulis oleh Wahba pada tahun 1994.
Bila diingatkan kembali, patutlah Chin Peng yang saya jumpa itu kemas dan rapi orangnya, rupa-rupanya dah berpuluh tahun jadi ‘Raja’.
Dan ‘Raja’ itulah yang diagung-agungkan sangat oleh pengikutnya kononnya sanggup berjuang dan hidup serta mati bersama!
‘Betul sangat’ la tu…
Dah tuh, lama sangat duk kat Peking & Bangkok sbg raja kapor, kenapa pulak puak2 kat sini beriya2 benor nak bawak balik? Sedangkan itu raja kapor sampai mati tidak mahu menyerah kalah & permohonan #BELIAU untuk balik telah ditolak oleh rakyat dan kerajaan Malaysia? Adakah #BELIAU diibarat hidung tak mancung, pipi tersorong2? Kalau betul hidung tak mancung, dah tu apa yg hensem sangat raja kapor tu? Saja tanya…
Kita terlalu memberi publisiti kepada dia, pkm dan abu mayatnya.