Gambar hiasan.

KUANTAN – Seorang remaja warga Thailand maut akibat tertimbus semasa melakukan kerja pembaikan kabel bawah tanah di Batu 5, Jalan Gambang di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata, mangsa Master Muhammad Riduwan, 18, disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

“Mangsa difahamkan tertimbus sekitar 12.30 tengah hari bersama seorang lagi pekerja yang turut melakukan kerja pembaikan itu, namun mereka dapat dikeluarkan oleh rakan sekerja sebelum ketibaan pasukan penyelamat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohamad Noor berkata, rakan sekerja mangsa, Muhammad Naqiuddin Che Azhar, 18, yang berasal dari Kampung Mengabang Tengah, Kuala Terengganu, Terengganu kini dirawat di HTAA kerana luka di bahu selain mengadu sakit dada.

Beliau berkata, siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan. – Bernama