KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof, telah dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) selepas menjalani pembedahan pintasan arteri koronari (CABG) yang berjaya pada 12 Ogos 2026.
IJN dalam kenyataannya berkata, Fadillah kini terus menunjukkan perkembangan pemulihan yang baik dan berada dalam keadaan stabil.
Beliau akan meneruskan proses pemulihan di rumah, termasuk mendapatkan rawatan susulan dan menjalani rehabilitasi jantung seperti yang disarankan pasukan perubatan.
Bagi menyokong proses pemulihan berterusan beliau, pasukan perubatan buat masa ini mengesyorkan agar kunjungan dihadkan kepada ahli keluarga terdekat, bagi membolehkan beliau mendapat masa yang secukupnya untuk berehat dan memulihkan kesihatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN, Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Ezani Md Taib, berkata, mereka berbesar hati melihat proses pemulihan dan perkembangan positif Timbalan Perdana Menteri II selepas menjalani pembedahan.
Tambahnya, keadaan Fadillah telah bertambah baik sehingga membolehkan beliau meneruskan proses pemulihan di rumah dan beliau akan terus menerima rawatan susulan daripada pasukan perubatan.
“Kami dengan penuh hormat memohon pengertian semua pihak untuk memberikan masa dan ruang yang diperlukan kepada beliau bagi membolehkan proses pemulihan sepenuhnya,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















