Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama penyokong mengaminkan doa semasa hadir ke mahkamah bagi membela diri dalam kes perbicaraan SRC International Sdn Bhd membabitkan penyewelengan dana berjumlah RM42 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 03 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Peguambela Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhamad Shafee memberitahu mahkamah pihaknya akan mengemukakan bukti penting pada perbicaraan pembelaan membabitkan penyewelengan dana RM42 juta syarikat SRC International.

Ia, katanya melibatkan transaksi yang telah berlaku tanpa pengetahuan Najib semasa anak guamnya menjadi Perdana Menteri.

“Apa yang saya boleh beritahu ialah anak guam saya tidak pernah dimaklumkan tentang baki yang betul dalam akaun beliau malah Najib tidak tahu tentang transaksi-transaksi ini.

“Juga tidak ada bukti kukuh yang membuktikan dana RM42 juta telah dimasukkan ke akaun peribadi Ambank Najib adalah wang ganjaran untuk beliau sebagai rasuah oleh dirinya sendiri mahu pun pihak lain.

“Persoalan tentang mengapa Najib tidak membuat laporan polis juga kerana ketika itu kes tersebut sudah mula disiasat oleh pihak berkuasa dan beliau meletakan kepercayaan tinggi kepada mereka untuk menyiasat.

“Beliau mahu menghormati integriti pasukan yang sudah memulakan siasatan berkaitan transaksi-transaksi pada masa itu,” katanya.

Dalam pernyataan tersebut, Muhammad Shafee menegaskan Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan tidak ada sebarang kepentingan peribadi dalam SRC International mahu pun dana sebanyak RM42 juta seperti didakwa.

Katanya, penglibatan Najib dalam syarikat SRC International hanya berlaku selepas mendapat kelulusan sepenuhnya daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), kabinet dan Kementerian Kewangan.

Malah ia tidak lebih daripada mengutamakan kepentingan negara dan kerajaan yang diterajui oleh Najib pada masa itu serta bukan untuk kepentingan peribadi seperti didakwa.

Terdahulu, Muhammad Shafee juga menegaskan, walaupun seramai 66 saksi ditawarkan kepada pihak pendakwaan bagi kes pembelaan namun hanya tujuh sahaja yang ‘sempat’ diperiksa balas.

Ini kerana tempoh yang diberikan bagi menyediakan diri bagi pasukan pembelaan adalah singkat iaitu selama 21 hari bermula dari tarikh keputusan pembelaan diumumkan pada 11 November lepas.

Keadaan itu, katanya, memaksa pasukannya bekerja keras termasuk Sabtu dan Ahad serta mendakwa tidak tidur selama beberapa hari.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah menetapkan prosiding pembelaan bermula pada 3 Disember hingga 4 Disember, 9 Disember hingga 12 Disember dan 16 Disember sehingga 19 Disember bulan ini.

“Sebenarnya pasukan pembelaan termasuk anak guam saya tidak akan ada masa yang mencukupi untuk mempersiapkan diri bagi pembelaan ini.

“Tempohnya cukup singkat diberikan kepada kami sedangkan mungkin memerlukan tempoh berbulan,” kata Muhammad Shafee di hadapan Mohd Nazlan sebelum mula membacakan pernyataan pembukaan pembelaan hari ini.

Sebelum itu, Najib tampil mengangkat sumpah, Muhammad Shafee memaklumkan mahkamah anak guamnya akan membaca pernyataan saksi setebal 243 muka surat dengan 317 soalan akan dilakukan dalam Bahasa Melayu.

Sejurus selepas angkat sumpah, Najib mula membacakan penyataan saksi dalam keadaan tenang. – MalaysiaGazette