PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KEPALA BATAS – Polis akan mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Majistret untuk mengadakan inkues bagi mengenal pasti punca kematian lelaki yang ditemukan mati tergantung dipercayai membunuh diri di dalam lokap tahanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU), di sini pada 22 November lepas.

Ketua Polis Daerah, SPU ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, ia adalah jalan terbaik bagi keluarga mangsa mendapatkan maklumat berhubung kejadian itu.

“Kertas siasatan berhubung kejadian itu telah siap dan dihantar kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya hari ini sebelum ia dirujuk kepada Majistret untuk mengadakan inkues selepas mendapat persetujuan Pejabat Peguam Negara,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Lelaki berusia 29 tahun itu ditahan pada 13 November di Kampung Perlis, Butterworth bersama rakannya berumur 38 tahun sebelum mereka berdua direman selama tujuh hari sejak 14 November dan kes mereka disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Lelaki itu ditempatkan di dalam lokap bersama enam lagi tahanan dan dia dijumpai tergantung pada jeriji kira-kira pukul 4.00 pagi Jumaat (22 November) oleh seorang tahanan yang terjaga daripada tidur sebelum memaklumkan kepada polis. Semasa kejadian, semua tahanan lain di dalam lokap itu sedang tidur.

Ekoran kejadian itu, polis turut menerima laporan polis dibuat keluarga lelaki berkenaan yang meminta pihaknya menyiasat sebab kematian tahanan berkenaan ketika berada di bawah jagaan polis.

Mengulas lanjut, Noorzainy berkata, seramai 50 orang termasuk pegawai dan anggota polis serta tahanan yang berada dalam lokap bersama lelaki itu direkodkan keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan kes tersebut.

Katanya, selain itu, polis turut menubuhkan satu pasukan khas untuk menjalankan siasatan dalaman berhubung kejadian tersebut dan pihaknya telus dalam siasatan berkenaan.

“Menerusi inkues itu kita nak mengetahui punca sebenar kematian dan sama ada terdapat unsur kecuaian di pihak polis. Hasil (siasatan) setakat ini kejadian berkenaan tiada unsur jenayah,” katanya.

Menurutnya, pihak polis juga telah berjumpa dengan keluarga lelaki itu dan memberi penerangan, penjelasan serta hasil siasatan berhubung kejadian itu dan hasil pertemuan mereka berpuas hati serta memahami sebab-sebab kematian. – Bernama