Shamsubahrin Ismail

KUALA LUMPUR – Bekas calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Faridah Aryani Abd. Ghaffar tidak sepatutnya mempunyai masalah kewangan selepas tewas dalam pilihan raya berkenaan.

Pengasas Big Blue Capital (M) Sdn. Bhd., Datuk Shamsubahrin Ismail menjelaskan, ini kerana deposit bahan kempen pilihan raya bernilai RM5,000 adalah hak mutlaknya, yang mana ia sepatutnya telah dideposit ke akaun peribadinya sekiranya Faridah Aryani telah melakukan tuntutan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Difahamkan, SPR telah memaklumkan kepada Faridah Aryani mengenai cara-cara untuk menuntut wang tersebut kembali sewaktu di Tanjung Piai.

“Ia juga merupakan sebahagian daripada persetujuan kami bahawa duit deposit pilihan raya bernilai RM10,000 turut akan menjadi miliknya, namun disebabkan tidak mendapat 1/8 undi, duit itu hangus.

“Bagaimanapun, deposit bahan kempen pilihan raya bernilai RM5,000 itu masih ada untuk Faridah Aryani. Jadi saya tidak faham bagaimana dakwaan dia mengalami masalah kewangan itu boleh timbul,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Pada masa sama, Shamsubahrin berkata, Faridah Aryani pernah membuat tuntutan bernilai RM2,565 kepadanya menerusi emel atas alasan ia merupakan nilai cuti tanpa gaji di syarikat majikannya.

Beliau memberitahu, perkiraan yang dilakukan adalah jumlah cuti yang diambil selama 19 hari dengan nilai sehari cuti tersebut adalah RM135.

“Dia seterusnya meminta saya memasukkan wang tersebut ke dalam akaun peribadinya, namun saya membalas emel tersebut dengan mengatakan deposit bahan kempen RM5,000 tersebut adalah haknya dan dia tidak perlu memulangkan satu sen pun kepada saya,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan, segala perbelanjaan Faridah Aryani di Tanjung Piai adalah ditanggung sepenuhnya oleh pihak penaja dan dia tidak pernah mengeluarkan duit bagi tujuan kempen.

Faridah Aryani Abd Ghaffar

Pada PRK PRK Tanjung Piai yang lalu, Faridah Aryani yang mewakili Gabungan Teksi Semenanjung Malaysia (GTSM) hanya mendapat sebanyak 32 undi.

Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Wee Jeck Seng memenangi kerusi Parlimen berkenaan dengan keputusan majoriti 15,086 undian.

Jeck Seng memperoleh 25,466 undian sekaligus menewaskan lima lagi calon bertanding.

Calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini pula berjaya memperoleh 10,380 undian.

Calon Gerakan, Wendy Subramanian menerima 1,707 undian manakala calon Berjasa, Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz memperoleh 850 undi.

Dua lagi calon bebas, Dr Ang Chuan Lock memperoleh 380 undi termasuk Faridah Aryani. – MalaysiaGazette